IKLAN
Wednesday, September 24, 2014
Peperiksaan Ulangan Matematik dan Bahasa Tamil bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)
PUTRAJAYA 22 Sept. - Kementerian Pendidikan hari ini mengesahkan
kertas ujian Matematik dan Bahasa Tamil bagi Ujian Pencapaian Sekolah
Rendah (UPSR) yang diambil pada 10 September lalu dibatalkan selepas
disahkan berlaku kebocoran.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof berkata,
berikutan itu semua murid terbabit perlu menduduki semula kertas ujian
Matematik dan Bahasa Tamil pada 9 Oktober depan.
Beliau berkata, langkah melaksanakan semula ujian tersebut terpaksa
dilakukan bagi memastikan pengendalian peperiksaan awam mematuhi
prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan di samping
menjamin integriti dan kredibiliti keputusan UPSR.
"Semalam Lembaga Peperiksaan mengesahkan kertas ujian Matematik 015/1
(Sekolah Kebangsaan), 025/1 (sekolah jenis kebangsaan Cina), 035/1
(sekolah jenis kebangsaan Tamil), Bahasa Tamil 036, 037 bagi UPSR 2014
telah didapati bocor.
"Sehubungan itu, pihak Lembaga Peperiksaan telah memaklumkan bahawa
semua kertas terbabit dibatalkan dan tarikh baharu ujian ditetapkan pada
9 Oktober ini setelah mengambil kira cuti umum Aidiladha dan aspek
logistik seperti percetakan dan pengedaran," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas mengenai pembatalan
kertas mata pelajaran Matematik dan Bahasa Tamil UPSR 2014 di Bangunan
Kementerian Pendidikan, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad.
Semalam, satu laporan polis telah dibuat oleh seorang pegawai Lembaga
Peperiksaan yang mendakwa kertas ujian Matematik dan Bahasa Tamil juga
bocor selepas insiden sama berlaku terhadap kertas Bahasa Inggeris dan
Sains.
Menurut Khair, sebagai langkah serta-merta pihaknya juga sedang
mengambil tindakan untuk membuat pertukaran pegawai di Lembaga
Peperiksaan bagi memantapkan pengurusan dan pengendalian peperiksaan
awam.
Sementara itu, beliau turut memohon maaf secara terbuka kepada semua
pihak berikutan insiden kebocoran empat kertas UPSR tersebut.
Khair berkata, beliau amat memahami perasaan, keresahan dan kesulitan yang dihadapi oleh semua pihak terlibat.
Katanya, arahan juga telah dikeluarkan kepada semua guru besar dan
guru untuk mengenal pasti serta memberi khidmat kaunseling kepada murid
yang memerlukan.
"Selaku Ketua Pengarah Pelajaran, saya memohon maaf kepada
murid-murid, ibu bapa, guru-guru dan semua yang terlibat ekoran insiden
ini.
"Dengan ini saya telah pun mengambil alih pengawasan seluruh proses
pengendalian peperiksaan awam yang dilaksanakan oleh Lembaga Peperiksaan
sejak insiden kebocoran pertama dilaporkan pada 12 September lalu,"
katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140923/dn_06/Ujian-semula-9-Oktober-ini#ixzz3E7Dd3fo2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tuesday, September 23, 2014
JADUAL PEPERIKSAAN ULANGAN UPSR 2014
- Sains: Kertas subjek Sains kod 018 (SK), 028 (SJKC), 038 (SJKT)
- Bahasa Inggeris: kod subjek 014/1 dan 014/2 Bagi Sekolah Kebangsaan sahaja. Sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) tidak terlibat dalam peperiksaan ulangan subjek Bahasa Inggeris kerana soalan tidak bocor.
Jadual Waktu UPSR 2014 Ulangan BI Dan Sains
Muat turun jadual : KLIK SINI
Thursday, September 11, 2014
SOALAN PEPERIKSAAN UPSR BOCOR
KUALA LUMPUR 10 Sept. - Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan
mengumumkan kertas Sains 018, 028 dan 038 Ujian Pencapaian Sekolah
Rendah (UPSR) yang dijadualkan esok didapati bocor dan peperiksaannya
ditangguhkan.
Dalam satu kenyataan Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan,
Kementerian Pendidikan di sini hari ini memberitahu, peperiksaan bagi
ketiga-tiga kertas itu ditangguhkan ke 30 September ini.
Kertas Sains 018 adalah untuk sekolah kebangsaan manakala sekolah
jenis kebangsaan Cina (028) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (038).
Menurut kenyataan itu, berdasarkan siasatan awal pihak lembaga,
kandungan soalan bagi kertas peperiksaan tersebut telah tersebar
menerusi media sosial.
"Sehubungan itu, Lembaga Peperiksaan telah membuat laporan kepada
pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan
mengikut peruntukan undang-undang," kata kenyataan itu.
Sebanyak 473,175 calon menduduki UPSR bermula semalam sehingga esok.
Berdasarkan jadual peperiksaan UPSR, kertas Bahasa Melayu Pemahaman,
Bahasa Melayu Penulisan dan Matematik Kertas 2 dijalankan semalam
manakala hari ini Matematik Kertas 1, Bahasa Tamil Pemahaman, Bahasa
Cina Pemahaman dan Bahasa Cina Penulisan.
Esok, peperiksaan bagi subjek Sains sebelum penangguhan, sepatutnya
dijalankan dari pukul 8.15 pagi hingga 9.30 pagi. Berjalan mengikut
jadual esok ialah peperiksaan bagi kertas Bahasa Inggeris Kertas 1 dan
Bahasa Inggeris Kertas 2 serta Aptitud Tahun Enam.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140911/dn_02/Soalan-peperiksaan-UPSR-bocor#ixzz3CxjIJr4r
© Utusan Melayu (M) Bhd