
KIEV, Ukraine 17 Julai - Sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17
yang membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal dari Amsterdam ke Kuala
Lumpur terhempas, dipercayai ditembak pelancar peluru berpandu di pekan
Shakhtarsk di timur negara ini lewat petang ini.
Penasihat kepada Menteri Dalam Negeri Ukraine, Anton Gerashenko dalam
akaun Facebooknya berkata, pesawat MAS itu terbang pada ketinggian
10,000 meter dan dipercayai ditembak dengan peluru berpandu yang
dilancarkan daripada pelancar Buk.
Pelancar serupa pernah dilihat oleh wartawan Associated Press dekat bandar Snizhne di timur Ukraine awal hari ini.
Sementara itu, MAS dalam kenyataannya mengesahkan menerima makluman
daripada Pusat Kawalan Trafik Udara (ATC) Ukraine yang ia terputus
hubungan dengan pesawat MH17 pada pukul 1415 (GMT) 30 kilometer dari
Tamak, kira-kira 50 kilometer dari sempadan Rusia-Ukraine.
Menurut MAS, pesawat Boeing 777 itu berlepas dari Amsterdam pada
pukul 12.15 tengah hari waktu Amsterdam dan dijangka tiba di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 6.10 pagi esok waktu
Malaysia.
MAS dalam Twitternya berkata, syarikat penerbangan itu 'gagal
berhubung dengan pesawat MH17' ketika berada di ruang udara Ukraine.
Pesawat itu kali terakhir dikesan berada di ruang udara Ukraine,
wilayah yang kini bergolak sejak beberapa bulan lalu akibat campur
tangan Rusia dalam konflik politik di negara tersebut.
Malah dalam perkembangan terbaharu hari ini, Rusia didakwa menembak
jatuh sebuah pesawat pejuang Ukraine SU25 di timur negara itu
bagaimanapun dinafikan Kementerian Pertahanan Rusia.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
dalam mesej Twitternya berkata, beliau terkejut dengan laporan kejadian
itu.
"Kita akan menyiasat dengan segera kejadian tersebut," katanya.
Ini adalah kejadian kedua yang menimpa pesawat MAS dalam tempoh 132
hari selepas insiden kehilangan pesawat MH370 yang dalam perjalanan ke
Beijing pada 8 Mac lalu.
Pesawat yang membawa 239 penumpang itu sehingga kini tidak diketahui
nasibnya walaupun operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran
membabitkan pelbagai negara dan aset canggih dilakukan.
Baca seterusnya...