BLOG PUSAT SUMBER SK. PARIT HAJI TAIB ...

IKLAN


Showing posts with label sasterawan negara. Show all posts
Showing posts with label sasterawan negara. Show all posts

Friday, October 30, 2009

Syed Othman bin Syed Omar ( Sasterawan Negara )



Syed Othman bin Syed Omar (13 November 1939 - 31 Julai 2008) atau lebih dikenali sebagai S Othman Kelantan serupakan salah seorang sasterawan negara Malaysia. S. Othman Kelantan telah dilahirkan pada 13 November 1939 di Kelantan Darul Naim. Beliau mula menulis sejak tahun 1953. Dalam dunia penulisan kreatif, beliau lebih dikenali dengan nama S. Othman Kelantan. Sehingga Disember 2000, Dr. Syed Othman telah menghasilkan sebanyak 175 buah cerpen. Antara novel beliau yang terkenal ialah Angin Timur Laut (1969), Juara (1976), Wajah Seorang Wanita (1990) dan Nagogho Astana (1997). Cerpen dan novel beliau pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis, Jepun, Inggeris, Rusia dan Cina. Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Sastera dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1983 sebelum memperolehi Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1995.
Dr. Syed Othman pernah menjadi guru (1952-1979). Tutor Bahasa Melayu USM pada tahun 1980-1983, pensyarah di UKM (1983-1996) dengan jawatan akhirnya sebagai Profesor Madya dan Karyawan/Pensyarah Tamu di Universiti Malaya (1997-1999). Sebagai seorang sarjana sastera, beliau telah menghasilkan banyak buku-buku akademik yang berkaitan tentang kesusasteraan. Kini beliau merupakan pensyarah di Institut Pujangga (Francais UUM) di Seri Kembangan, Selangor. Hasil daripada penglibatan dan sumbangan beliau dalam bidang penulisan kreatif, Dr. Syed Othman telah dianugerahkan S.E.A Write Award pada tahun 1990.

Biodata
S OTHMAN KELANTAN atau nama sebenarnya Syed Othman bin Syed Omar (al-Yahya) dilahirkan pada 13 November 1938, di Tebing Tinggi, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan.
Beliau memperoleh Sarjana Muda Sastera (1979) dan Sarjana Sastera (1982/83) dari Universiti Sains Malaysia. Kemudian pada tahun 1994/95 beliau memperoleh Ph.D dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Setelah lulus Ijazah Sarjana, S Othman berkhidmat dengan Universiti Sains Malaysia selama dua tahun. Mulai tahun 1983, beliau berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pensyarah di fakulti Pendidikan/ATMA.
Jawatan terakhirnya yang disandang ialah Profesor Madya hingga beliau bersara pada tahun 1997. Kemudian beliau berkhidmat sebagai karyawan tamu di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (1997-1999). Kini beliau menjadi pensyarah sambilan di Pujangga Management Institute (Francais UUM).

S Othman Kelantan aktif menulis puisi, cerpen, novel serta esei/kritikan. Sehingga kini S Othman telah menghasilkan lebih 182 buah cerpen. Beliau gemar meneroka persoalan yang mencakupi soal-soal kemasyarakatan, politik, agama, dan falsafah. Novel yang dihasilkannya ialah 12 buah novel dewasa dan empat buah novel remaja.
Antara novel beliau yang terkenal ialah Pengertian (1966), Pertentangan (1967), Angin Timur Laut (1969), Perjudian (1973), Juara (1973), Perwira (1980), Ruang Perjalanan (1989), Wajah Seorang Wanita (1990), Ustaz (1991), Nagogho Astana (1997), dan Orang Kota Bharu (2003. Beliau juga menghasilkan lima buah antologi cerpen persendirian.

Cerpen dan novel beliau pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis, Jepun, Inggeris, Rusia, Thai, Vietnam dan Cina.

Sebagai seorang sarjana sastera, beliau telah menghasilkan banyak buku-buku akademik yang berkaitan tentang kesusasteraan.

Selain menulis cerpen dan novel, S Othman Kelantan turut menghasilkan esei dan kertas-kertas kerja untuk beberapa pertemuan penulis baik pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan sebanyak 364 buah esei/kritikan.

Di samping berkecimpung dalam dunia penulisan sastera, beliau turut terlibat dalam kegiatan persatuan penulis. Beliau pernah menjadi Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK) (1973-1976), Persatuan Penulis Nasional, Penasihat PPK, dan Penasihat Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (Puspa).

Kesungguhannya menghasilkan karya dan mengabdikan dirinya dalam dunia kesusasteraan mewajarkan beliau dipilih untuk menerima hadiah seperti Hadiah Peraduan Mengarang Novel DBP 1962, Pelangi (sagu hati), Hadiah Sastera Malaysia 1972, 1973, 1974 (cerpen) dan 1984 (esei), S.E.A. Write Awards (1990), Pingat Bakti (PB) oleh DYMM Sultan Kelantan (1973), Pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N.) oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong (1974), Anugerah Tokoh Sastera Negeri Kelantan (2003), dan Anugerah Sastera Negara (2003). Ketika menerima anugerah sasterawan negara dari Yang di-Pertuan Agong, Arwah S Othman Kelantan juga telah mengkritik keras pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris oleh pihak kerajaan pada ketika itu.

Beliau meninggal pada 11.45 malam 31 Julai 2008 di Hospital Serdang kerana kerumitan serangan sakit jantung. Beliau telah dirawat di Hospital Serdang selama dua minggu akibatsakit jantung, paru-paru berair dan juga tekanan darah rendah. Jenazah beliau disimpan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bangi, Selangor

Baca seterusnya...

Thursday, October 8, 2009

USMAN AWANG ( SASTERAWAN NEGARA )


Dato' Usman Awang (12 Julai 1929 - 29 November 2001) adalah seorang Sasterawan Negara Malaysia yang dikurniakan gelaran tersebut pada tahun 1983. Terkenal dengan nama penanya Tongkat Warrant, beliau adalah seorang penyair dan ahli drama yang prolifik ketika hayatnya. Usman Awang juga dikenali dengan nama Adi Jaya, Amir, Atma Jiwa, Manis, Pengarang Muda, Rose Murni, Setiabudi, U.A., Zaini dan mungkin lain-lain. Dalam tahun 1991, beliau telah di anugerahi Darjah Kebesaran Dato’ Paduka oleh Sultan Perak Darul Ridzuan yang membawa gelaran Dato’.

Pada tanggal 29 November 2001, pada bulan Ramadhan, beliau meninggal dunia setelah lama menghidap penyakit jantung. Beliau ketika itu berusia 72 tahun.


Kehidupan awal dan kerjaya

Usman lahir di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor, pada 12 Julai 1929. Beliau diberi nama Wan Osman Wan Awang tetapi menukar namanya ke Usman Awang. Ibunya bernama Halimah, telah meninggal dunia sewaktu beliau kecil lagi. Ayahnya seorang nelayan yang mencari& menjual rotan pada waktu musim tengkujuh.Usman melalui alam kemiskinan semasa alam kanak-kanaknya yang menyebabkan beliau hanya mampu belajar setakat darjah enam sahaja.

Pendidikan yang diterima oleh Usman Awang hanyalah setakat Darjah 6 Sekolah Melayu sahaja. Kemiskinan tidak membenarkannya mengecap kejayaan dengan lebih jauh dalam bidang pendidikan walaupun dia sangat gemar membaca dari kecil lagi. Bersekolah di Kuala Sedili (1936), Mersing (1937) dan Bandar Maharani (1940) hingga lulus Darjah 6.

Ketika Jepun menjajah Malaya bermula pada tahun 1942, Usman Awang adalah seorang anak tani di Segamat. Tidak lama kemudian beliau menjadi buruh paksa Jepun selama 6 bulan di Singapura. Beliau berjaya melepaskan diri dan pulang ke Segamat. Usman Awang pernah menjadi ‘budak pejabat’ di Pejabat Taliair Segamat. Kemudian beliau memasuki Botai iaitu pasukan polis Jepun, tetapi selepas beberapa minggu menjalani latihan, pihak Jepun menyerah kalah.

Usman Awang menjadi anggota polis bila Inggeris kembali memerintah semula pada tahun 1946. Beliau menjalani latihan di Johor Bahru sebelum menjalankan tugasnya di Melaka. Pada tahun 1951, beliau berhenti dan berhijrah ke Singapura dan bekerja sebagai pembaca pruf dengan Melayu Raya selama enam bulan, kemudian menjadi pemberita. Sesudah itu bekerja di Mingguan Melayu sebagai sidang pengarang.

Pada tahun 1952, Usman Awang mendapat tawaran bekerja di Utusan Melayu sebagai sidang pengarang akhbar Utusan Kanak-Kanak. Beliau diangkat menjadi pengarang Utusan Zaman dan majalah Mastika selepas itu. Pada tahun Malaya mencapai kemerdekaan, Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur. Usman Awang turut serta berhijrah dengan memegang jawatan yang sama. Dalam tahun 1961, beliau terlibat dalam peristiwa pemogokan Utusan Melayu. Akibatnya beliau berhenti dan menganggur seketika.

Pada tahun 1962,Usman Awang bekerja di Penerbitan Federal selama lapan bulan. Kemudian beliau berkhidmat sebagai sidang pengarang di Dewan Bahasa dan Pustaka. Jawatan pertamanya adalah sebagai sidang pengarang untuk majalah Dewan Bahasa. Kemudian beliau menjadi pengarang untuk majalah Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya. Jawatan yang disandang beliau ketika itu ialah Pegawai Penyelidik Kanan. Usman kemudian di tukarkan ke Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera. Mulai Mei 1982 beliau menjadi ketua bahagian ini sehingga bersara pada bulan Julai 1985.

Selepas bersara dari Dewan Bahasa Dan Pustaka, Usman Awang bergiat cergas dalam beberapa pertubuhan masyarakat. Antaranya ialah Persatuan Persahabatan Malaysia-Cina. Sementara itu dalam tahun 1991, beliau di lantik sebagai Ahli Jemaah Kolej Selatan. Perlantikan ini di sifatkan oleh beliau sebagai pemangkin ke arah meningkatkan hubungan antara kaum dalam proses pembentukan satu bangsa Malaysia. Jawatan ini di pegang hingga tahun 2001. Selain itu beliau dilantik sebagai Penasihat Sastera Maybank mulai 1991 hingga 2001

Sumbangan

Usman Awang mula membentuk namanya dalam dunia persuratan Melayu Moden dengan menulis sajak. Sajak-sajaknya sentiasa segar, kukuh serta akrab dengan akar budi Melayu dan perikemanusiaan. Beberapa buah sajaknya menjadi bahan yang amat menarik. Bukan sahaja di kalangan masyarakat terbanyak yang cintakan puisinya tetapi menjadi mainan bibir di kalangan anak-anak sekolah pada waktu itu dalam sebarang upacara mendeklamasi sajak. Antara sajaknya yang cukup popular adalah “Pak Utih”, “Ke Makam Bonda”, “Nasib Buruh”, “Bunga Popi”, “Gadis Di Kuburan”, dan “Salam Benua”.

Usman adalah di antara penyair Melayu yang berhasil mengekalkan semangat dan harmoni pantun di dalam sajak-sajaknya. Dengan menggunakan kata-kata biasa dalam penulisannya, beliau pintar menjalin kata-kata itu hingga menjadi begitu indah dan berkesan tanpa melemahkan makna yang hendak disampaikan. Inilah di antara keistimewaan yang ada pada Usman Awang.

Ketokohan Usman Awang menonjolkan kerana perwatakan peribadinya yang lemah lembut dan mesra, dan simpatinya terhadap golongan bawahan yang miskin dan manusia yang malang. Usman adalah seorang seniman yang berjiwa rakyat.

Usman Awang pernah diundang melawat Amerika Syarikat, Indonesia, Filipina, China dan Rusia, sebagai salah seorang penyair terkenal dari Malaysia. Beberapa buah karyanya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, China, Jepun, Korea, Peranchis, Thai, Czechkoslovakia, Danish, Tamil, Itali, Rusia dan lain-lain. Beliau di anggap sebagai seorang yang berjiwa besar dalam bidang sastera yang tidak jemu-jemu memperkayakan budaya negara.

Beliau telah dilantik sebagai salah seorang anggota Panel Hadiah Karya Sastera dan juga telah dianugerahkan gelaran “Pejuang Sastera” oleh Perdana Menteri pada 29 Mei 1976. Mulai tahun 1979, kerana ketokohan, pengalaman dan dedikasinya, beliau dilantik menjadi setiausaha kepada Panel Anugerah Sastera, sebuah badan kehormat yang tertinggi di tanah air.

Dalam tahun 1982 Usman Awang telah dipilih menerima SEA Write Award. Pada 11 Ogos 1983 Usman dianugerahkan pula Ijazah Doktor Kehormat (Persuratan) oleh Universiti Malaya. Usman Awang juga adalah penerima Anugerah Sastera Negara bagi tahun 1983. Akhbar Berita Harian telah menganugerahi Usman Awang Zamalah Sastera dalam tahun 1985 iaitu untuk kategori Penulis Terkenal (Veteran). Anugerah ini bertujuan mengadakan kemudahan berkarya dan memberikan sumbangan kepada perkembangan kesusasteraan tanah air. Dalam tahun 1995 beliau diberi Anugerah Penyair Johor. Antara karya-karya terkenal beliau adalah :-

Novel : Tulang2 Berserakan

Cerpen : Untuk Malaya Merdeka, Turunnya Sebuah Bendera, Kami Yang Terlibat dan lain-lain.

Drama : Muzika Uda dan Dara, Degup Jantung, Malam Kemerdekaan, Tamu Di Bukit Kenny, Matinya Seorang Pahlawan – Jebat, Serunai Malam dan lain-lain.

Sajak : Pak Utih, Ke Makam Bonda, Salam Benua, Gadis Di Kuburan, Kekasih, Bunga Popi dan lain-lain.

Dalam kegiatan dan organisasi penulis tanahair, sumbangan dan penyertaan Usman Awang amat dirasakan. Beliau banyak terlibat secara aktif dalam banyak aktiviti penulis. Bukan saja hidupnya sebagai pencipta karya yang asli dan halus tetapi juga sebagai penggerak yang berani memberi inspirasi dan semangat kepada ramai penulis muda. Sejak tahun 1950-an beliau merupakan salah seorang pengasas Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM), Setiausaha ASAS 50 di Singapura dan Ketua PENA yang pertama (1962-1965). Beliau juga adalah salah seorang yang mengambil daya inisiatif untuk mengadakan Hari Puisi, Cempaka Berbunga, Malam Gema Puisi dan Gentar Rasa di Panggung Anniversary, Manifestasi Dua Seni dan banyak lagi aktiviti lain. Kumpulan Puisi “Keranda 152” dan “Telok Gong” juga adalah daya usaha Usman Awang bersama penyair lain.

Ketokohan Usman Awang dalam Melayu Moden, khususnya sajak dan drama, amat banyak diperkatakan. Maka itu nama Usman Awang paling terkenal kepada semua pengkaji dan peminat sastera melayu di pelbagai peringkat dan golongan, di dalam atau luar negara. Kejayaannya mempertahankan dirinya sebagai seorang penyair dan budayawan yang terus kreatif memberikan rasa keteguhan terhadap tradisi baru sastera melayu. Beliau adalah seorang penyair yang tidak pernah luntur dan dapat menyesuaikan diri dalam pelbagai zaman dan situasi.

Penulisan


Dalam bidang penulisan beliau lebih terkenal dengan lebih 200 puisi dan drama. Antara judul sajak yang sinonim dengan Usman Awang ialah:

  • Bunga Popi
  • Gadis Kecil
  • Ke Makam Bonda
  • Kekasih
  • Kurang Ajar
  • Pak Utih
  • Suara Dari Pusara

Dramanya yang terkenal ialah:

  • Matinya Seorang Pahlawan
  • Tamu Bukit Kenny
  • Serunai Malam
  • Malam Kemerdekaan

Drama muzikalnya ialah "Uda dan Dara". Hanya ada satu novel karya Usman Awang iaitu "Tulang-tulang Berserakan" (terjemahan ke dalam bahasa Rusia dengan judul "Tam Gde Ikh Nastigka Pulya" - Di sana mereka kena peluru - Moscow, 1984)

Dato' Dr. Usman Awang juga pernah menggunakan nama pena Adi Jaya, Amir, Atma Jiwa, Manis, Pengarang Muda, Rose Murni, Setiabudi, U.A., dan Zaini.

Pada tahun 1983, beliau dianugerahkan gelaran "Sasterawan Negara", SEA Write Award 1982 dan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Universiti Malaya 1983 serta Zamalah Sastera 1985. Pada tahun 1991 dianugerahi Darjah Kebesaran Dato' Paduka oleh Baginda Sultan Perak yang membawa gelaran Dato'.

Sifat

Dato' Usman merupakan seorang penulis yang berani menyatakan sikap dalam hal-hal besar yang menimpa negara. Baginya, seseorang hanya layak digelar penulis bila sudah berani menyatakan sikap. Kalau tak berani tak payah jadi penulis.

Antara lain, Dato Usman pernah berkata “Saya menentang prejudis terhadap bahasa Melayu ini. Saya hampa kerana pemimpin negara sendiri yang tidak percaya kepada kemampuan bahasa kebangsaan.”

Dato' Usman Awang, penyair yang berjiwa rakyat meninggal pada 29 November 2001 pada bulan Ramadan. Jenazah beliau dikebumikan di tanah perkuburan Bukit Kiara Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur di mana bersemadinya dua Sasterawan Negara, Keris Mas dan kini Tongkat Warrant. Penulis-penulis yang mengenali beliau turut hadir, antara lain Dr Anwar Ridhwan, Sutung Umar RS, Dato A. Samad Said, Dato Baha Zain, Dato Shanmugalinggam dan Profesor Muhammad Haji Salleh.

Baca seterusnya...

Thursday, June 25, 2009

SASTERAWAN NEGARA (NOORDIN BIN HASSAN)


LAHIR : 18 Januari 1929 di Jalan Hatin, Pulau Pinang.
ALAMAT : 60, Jalan Limau Kasturi, Bangsar Park, 59000 Kuala Lumpur.


TIDAK hairan jika dunia seni menjadi pilihan Noordin Hassan kerana ayahnya sendiri, Hassan Aluih Pakcik Kaya adalah seorang yang dikenal sebagai tukang karang boria, sejenis permainan tradisi di Pulau Pinang dan Seberang Perai. Ayah beliau merupakan seorang pencinta seni dan tokoh yang Ismail sangat mengambil berat terhadap pendidikan agama.

Selepas mendapat tiga orang anak perempuan, Hassan pernah memberitahu isterinya, jika anak yang keempat nanti juga perempuan, dia akan kahwin lagi untuk mendapatkan anak lelaki. Sudah takdir Tuhan, anak yang keempat itu seorang lelaki; itulah kini yang dikenal dengan nama Noordin Hassan, seorang penulis drama yang tidak asing lagi kepada peminat-peminat drama tanah air. Ayah beliau meninggal dunia sewaktu Noordin berusia tiga tahun.

Pada akhir tahun 1930-an, Noordin Hassan memulakan persekolahannya di Sekolah Melayu Perak Road, Pulau Pinang. Satu peristiwa yang tidak dapat dilupakannya ketika belajar di sekolah ini ialah apabila pada suatu hari beliau melukis misai di gambar King Geroge yang terdapat di kulit buku. Menurut Noordin, “Misai itu sebenarnya kurang terang, jadi saya lebatkan”. Apabila buku itu dipulangkan, gurunya telah memanggil beliau ke hadapan darjah. Dengan tidak disangka-sangkanya, gurunya menampar Noordin. Buku itu ditunjukkan kepada murid-murid dalam darjah sebagai amaran dan buku itu kemudiannya dikoyak. Peristiwa itu sentiasa menjadi kenangan dan ingatan dalam hidup Noordin kerana ternyata kemudian apabila beliau menuntut di England, mata pelajaran khusus yang diikutinya tidak lain daripada bidang seni lukis.

Selepas belajar di sekolah Melayu, Noordin kemudian mengikuti kelas peralihan yang waktu itu dikenal dengan nama Special Malay Class, di Sekolah Inggeris Francis Light, Pulau Pinang, menggunakan pengantar bahasa Inggeris bagi semua mata pelajaran. Pada sebelah tengah hari hingga petang beliau belajar mengaji al-Quran dan sekolah agama di Masjid Rawana yang terletak di Perak Road. Ibu beliau berharap bahawa pada suatu hari nanti Noordin Hassan akan menjadi seorang alim yang mengajar pelajaran agama dan al-Quran, seperti Imam Manaf, iaitu imam di masjid Rawana pada masa itu.

Noordin tidak lama belajar di Sekolah Francis Light kerana pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Waktu itu beliau masih dalam alam remaja dan pernah bekerja sebagai `boy’ di sebuah rumah keluarga Jepun. Pada masa itu ada seorang Jepun, yang baik hati mengajarnya bahasa dan nyanyian Jepun, serta cerita-cerita dongeng Jepun kepada Noordin. Pengalaman ini mempengaruhi Noordin sehingga beliau begitu tertarik menonton filem-filem Jepun dan berminat pada kesusasteraan Jepun sehingga hari ini.

Apabila Jepun menyerah kalah pada tahun 1945 dan Inggeris kembali di Tanah Melayu, Noordin menyambung pengajiannya di Penang Free School. Di sekolah yang dianggap sebagai `elit’ pada waktu itu, Noordin mempelajari kesusasteraan Inggeris dan diajar oleh guru-guru Inggeris sendiri. Beliau lulus peperiksaan Sijil Persekolahan dengan cemerlang. Noordin juga dipilih sebagai pengawas di sekolah tersebut. Beliau bangga dengan jawatannya itu di samping menjadi kapten hoki bagi pasukan sekolah, bermain bola sepak, dan kriket.

Pada tahun 1952, Noordin Hassan dihantar oleh kerajaan belajar di Kirkby College, Liverpool untuk persiapan menjadi guru terlatih. Beliau mengambil seni lukis sebagai mata pelajaran khusus. Semasa di Kirkby beliau sekali lagi mendalami kesusasteraan Inggeris dan Barat, dengan mengaji karya-karya Shakespeare, Sheridan, Goldsmith, dan Molierre. Selama di England beliau berpeluang menonton drama-drama Barat terutama karya-karya Shakespeare. Bagi keperluan pengajiannya, beliau telah menulis tentang J.M.W. Turner seorang pelukis Inggeris. Noordin sempat melawat ke beberapa buah negara di Eropah, dan tidak ketinggalan mengunjungi balai-balai seni lukis.

Pada tahun 1953, Noordin pulang ke tanah air, menjadi guru Seni Lukis dan Bahasa Melayu di Sekolah Perempuan Kampung Baharu, Alor Setar. Pada tahun itu, Noordin telah mementaskan dramanya yang pertama berjudul “Tak Kunjung Kembali” yang memakan masa 40 minit. Bermulalah minatnya dalam bidang penulisan dan pementasan drama. Noordin semakin bergiat dalam lapangan drama semasa mengajar di Sekolah Sultanah Asma dan Sekolah Sultan Abdul Hamid, Alor Setar. Pada masa menjadi pensyarah di Maktab Harian Alor Setar 1957-1962, beliau telah menulis dan mementaskan beberapa buah drama di samping mempersembahkan tarian-tarian, boria dan muzika dengan para pelakonnya terdiri daripada penuntut-penuntut maktab.

Pada tahun 1962, Noordin Hassan bertolak sekali lagi ke Universiti London untuk mempelajari Pengajaran Bahasa Inggeris. Semasa di sana, beliau berpeluang menonton beberapa pementasan karya dramatis-dramatis yang `avant-garde” dan `eksperimental”. Beliau tertarik hati dengan pemikiran dan cara pementasan mereka. Beliau pulang ke tanah air dalam tahun 1964, lalu menjadi penasihat bagi Persatuan Drama, Maktab Perguruan Alor Setar, kemudian beliau telah mengarahkan drama untuk Majlis Kesenian Negeri Kedah. Selepas itu, Noordin Hassan menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim. Di maktab ini, lahirlah drama-dramanya yang berjudul “Bukan Lalang Ditiup Angin”, “Tiang Seri Tegak Berlima” dan “Pintu” yang dipentaskan oleh penuntut-penuntut maktab tersebut.

Pada tahun 1976, Noordin ditukar ke Maktab Perguruan Persekutuan, Jalan Notham, Pulau Pinang. Pada akhir tahun tersebut Noordin ke England buat kali ketiga ke University of Newscastle, kerana mengikuti kursus Drama dalam Pendidikan (Drama in Education). Banyak waktu dihabiskan dengan drama. Beliau menyedari bahawa sudah sampai masanya penulis kita khususnya menulis sesuatu yang sesuai dengan keperibadian dan “Psyche” orang Melayu khasnya dan dunia amnya. Mereka harus berpegang kuat kepada falsafah dan kepercayaan hidup sendiri. Malah keagungan di Barat tidak harus dijadikan kayu ukur atau sebagai perbandingan dengan karya-karya tempatan. Penulis kita harus bertolak dan kembali kepada hakikat kewujudan diri sendiri. Menulis bagi Noordin adalah untuk menegakkan maruah, suatu pengabdian kepada bangsa, dengan keredaan Allah.

Pada tahun 1978, Noordin Hassan bertukar ke Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur. Sebagai pensyarah, beliau mengajar Bahasa Malaysia, ilmu pendidikan dan memberi kursus kepada guru-guru dalam perkhidmatan mengenai pengajaran bahasa melalui drama. Beliau dilantik menjadi penasihat kepada persatuan drama maktab tersebut.

Pada tahun 1984, Noordin Hassan menyertai Bahagian Skrip dan Cereka, Radio, dan Televisyen Malaysia (RTM) sebagai pegawai kontrak. Di RTM beliau bertanggungjawab terhadap skrip drama dan cereka untuk siaran di Radio dan Televisyen Malaysia.

Sebagai seorang penulis dan pengarah drama, sumbangan Noordin Hassan telah diperkatakan dengan meluas melalui media massa sama ada akhbar, majalah, atau jurnal. Sepanjang penglibatan beliau dalam dunia drama sejak tahun 1953, beliau telah menghasilkan tidak kurang daripada 30 buah drama dan kareografi tarian. Pada tahun 1972, Noordin Hassan telah memenangi Hadiah Karya Sastera dengan dramanya yang berjudul “Bukan Lalang Ditiup Angin”. Drama ini telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dalam tahun 1979 bersama-sama dramanya yang bertajuk “Tiang Seri Tegak Berlima” dan “Pintu” dengan judul Bukan Lalang Ditiup Angin.

Selain itu dramanya yang penting termasuk “Jangan Bunuh Rama-rama”, “1400” , dan “Teater Fitrah”. Kesemua drama ini masing-masing telah disiarkan dalam Dewan Sastera 1979, 1981 dan 1983. Beliau juga telah menulis skrip untuk pantonim dan tamsil bagi majlis pembukaan Musabaqah al-Quran Peringkat Antarabangsa dari tahun 1978 hingga tahun 1985.

Pada tahun 1979, Noordin Hassan telah dianugerahkan bintang Ahli Mangku Negara oleh Yang di-Pertuan Agong. Dalam tahun 1995, Noordin telah dianugerahi bintang kebesaran negeri yang membawa gelaran “Dato”.

Beliau merupakan penulis drama yang penting dalam perkembangan kesusasteraan Melayu moden dan akhir-akhir ini Noordin banyak menunjukkan kecenderungannya menghasilkan karya-karya drama yang mengandungi konsep dan unsur-unsur Islam. Sumbangan beliau yang amat bermakna dalam perkembangan teater Noordin telah dianugerahi Anugerah Sastera Negara pada tahun 1993.

KARYA

Drama :

Bukan Lalang Ditiup Angin, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979, 145 hlm.; Anak Tanjung, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, 135 hlm.; Saya... dari Hujung Kota, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996, 367 hlm.; Peran (Edisi Khas Sasterawan Negara), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, 231 hlm.

Baca seterusnya...

Wednesday, June 17, 2009

SASTERAWAN NEGARA ( A. Samad Said )

BIODATA

A. SAMAD SAID dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Dia menerima pendidikan di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura (1940-1946), Victoria Institution sehingga memperolehi Sijil Senior Cambridge (1956). Pencapaian dan sumbangan Samad Said dalam memperkaya dan meninggikan nilai kesusasteraan Melayu telah mendapat penghargaan pemerintah apabila pada 29 Mei 1976 bersama beberapa pengarang lain beliau telah diiktiraf sebagai Pejuang Sastera.

Tahun 1979 turut memberi erti pada Samad, apabila beliau dilantik oleh Perdana Menteri sebagai salah seorang anggota panel Anugerah Sastera dan dalam tahun yang sama beliau telah memenangi Hadiah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award). Kemuncak pencapaian Samad sebagai sasterawan ialah apabila beliau dipilih sebagai penerima Anugerah Sastera Negara 1985. Dalam majlis penganugerahan itu telah dipentaskan sedutan drama terbaru A. Samad Said berjudul Wira Bukit. Dalam bidang penulisan, A. Samad Said turut menggunakan nama pena Hilmy, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra dan Shamsir.


PROFIL RINGKAS

Nama: Datuk Abdul Samad Muhammad Said. Nama Pena: A Samad Said, Hilmy Isa, Isa Dahmuri, Jami Kelana. Tarikh/Tempat Lahir: Pada 9.4.1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Pendidikan: Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura (1940-46), Sekolah Jepun (3 bulan), Victoria Institution sehngga Senior Cambridge, 1956). Kerjaya: Kerani hospital, Pengrang Utusan Melayu, Pengarang Warta Tebrau, Pengarang Berita Harian. Anugerah: Pejuang Sastera (1976), SEA Write Award (1979), Sasterawan Negara (19850, Sasterawan Nusantara (1999). Karya: Salina, Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Langit Petang, Daerah Zeni, Hujan Pagi, Lantai T Pinkie, Wira Bukit, Benih Harapan, Benih Semalu, Daun Semalu Pucuk Paku, Warkah Eropah, Al-Amin, Suara Dari Dinding Dewan.

Baca seterusnya...

RENUNGAN

RENUNGAN

Blog Archive

MACAM-MACAM ADA