BLOG PUSAT SUMBER SK. PARIT HAJI TAIB ...

IKLAN


Monday, March 30, 2009

SAMBUTAN HARI PROFESIONAL 2009

Sambutan Hari Profesianal 2009 bagi sekolah-sekolah kelompok 2 telah diadakan pada 28 Mac bertempat di dewan TNB Bagan Serai.Teks ucapan Hari Profesional telah dibaca oleh wakil JPN Perak, En. Fadli bin Tarmizi, Ketua ICT JPN Perak.Dalam majlis tersebut, dua orang penceramah telah dijemput iaitu Tn. Hj Bohari b. Samsudin dari Unit Psikologi dan Kaunseling JPN Pulau Pinang dan En. Mohamad Shah b. Ramli, Penyelia Pendidikan Islam JPN Perak.Diharapkan semua peserta yang mengikuti majlis tersebut akan dapat meningkatkan motivasi masing-masing dan bukan sekadar tidak kering gusi mendengar ceramah sahaja.


En. Fadli bin Tarmizi sedang membaca teks ucapan Hari Profesional


Tn. Hj Bohari,salah seorang penceramah sedang asyik menyampaikan ceramah yang bertajuk Motivasi Diri

Baca seterusnya...

Sunday, March 29, 2009

Sambutan Maulidur Rasul 2009

Sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini telah diadakan pada hari Jumaat 27 Mac 2009.Pada tahun ini Ustaz Idris dari Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Al Ridwaniah Teluk Medan telah dijemput untuk menyampaikan ceramah.

Ustaz Idris dari SABK Al Ridwaniah sedang menyampaikan ceramah Maulidur Rasul



Cikgu khairudin Ibrahim (kiri) bersama 'ahli keluarga baru SKPHT' Cikgu Mustapa




Guru Besar (kiri) tidak ketinggalan mendengar ceramah



sebahagian murid yang tekun mendengar ceramah

Baca seterusnya...

MESYUARAT AGUNG PIBG 2009

Mesyuarat Agung PIBG kali ke-30 2009 telah diadakan pada 26 Mac 2009.Mesyuarat pada tahun ini bermula pukul 2.30 petang.Hampir 100 orang ibu bapa dan penjaga murid telah hadir dalam mesyuarat pada kali ini.Teks ucapan perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Guru Besar,Pn Hajah Hayati bt Samsudin.Mesyuarat Agung pada tahun ini juga diserikan dengan acara cabutan bertuah yang ditaja oleh Pn. Siti Esah bt Yusuf.Dalam mesyuarat tersebut, En.Khalid bin Tarmizi sekali lagi telah dipilih sebagai YDP.Jawatan NYDP pula telah disandang oleh Pn. Siti Esah bt Yusuf.Tahniah kepada semua AJK baru yang telah dilantik.Selamat bertugas semua...


Guru Besar sedang membaca teks ucapan perasmian mesyuarat



Dah tugas setiausaha...catat ajelah...


Sebahagian daripada ibu bapa dan penjaga murid yang hadir sedang mendengar ucapan perasmian



Blogger skphjtaib yang bertuah pada tahun ini bersama hamper yang dimenangi beliau

Baca seterusnya...

Sunday, March 15, 2009

RAHSIA MADIHAH

Nur Madihah puasa sebab miskin
Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.coM

KOTA BHARU 14 Mac – “Kadang-kadang saya menitiskan air mata sebab kakak (panggilan keluarga kepada Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, gambar) terpaksa berpuasa sebab tidak ada wang untuk beli makanan.
“Tetapi alhamdulillah, kakak memahami keadaan keluarga. Malah kakak menjadikan ibadah itu sebagai rutin pada setiap hari Khamis dan Isnin sejak berumur 12 tahun.”
Demikian luahan ibu kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Mariani Omar, 42, ketika ditanya mengenai kesusahan dia dan suami, Nik Mohd. Kamal Hussein, 41, membentuk seorang insan contoh.
Katanya, biar susah bagaimana sekali pun, anak sulung daripada empat beradik itu tidak pernah merungut.
Malah Nik Nur Madihah, menurutnya, melalui semua kepayahan itu dengan tabah dan menerimanya sebagai cabaran untuk berusaha dengan lebih keras.
“Disebabkan tak ada wang poket, kakak akan makan roti di sekolah dan kerana terlalu banyak makan roti, ia jadi kegemarannya. Malah dia bercita-cita belajar cara buat roti. Kata kakak, dia hendak buat roti banyak-banyak.
“Ibu mana yang tidak tersentuh apabila melihat keadaan anak begitu. Tetapi saya bersyukur kerana dia menerima kekurangan ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Nik Nur Madihah, 18, anak seorang nelayan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) di sini mencatat sejarah negeri ini apabila memperoleh 20 A dalam peperiksaan SPM 2008.
Kejayaan itu menjadikan pelajar tersebut antara pelajar cemerlang dengan mendapat 19 1A dan satu 2A, kurang satu mata pelajaran berbanding pencapaian pelajar terbaik SPM 2007, Azali Azlan yang memperoleh 21 A.
Dia juga membuktikan kesusahan keluarga bukan halangan untuk mencapai kecemerlangan walaupun mengambil sebanyak mungkin mata pelajaran bagi menguji keupayaan dirinya dalam menghadapi cabaran hidup sebagai pelajar.
Kesusahan hidup Nik Nur Madihah yang tinggal di rumah sewa kecil di Pengkalan Chepa dipaparkan di muka depan Utusan Malaysia hari ini.
Mariani berkata, sejak kecil anaknya itu gemar membaca buku dan setiap masa terluang tidak pernah dibiarkan begitu saja.
“Memang dari kecil lagi dia minat benar dengan buku. Saya dan suami tidak pernah paksa kakak membaca buku, kadang-kadang paksa dia suruh berhenti sebab sudah masuk Maghrib.
“Sifat ulat buku ini turun kepada tiga adiknya,” tambahnya.
Menurut Mariani, seorang lagi anaknya kini menuntut dalam tingkatan empat di Sekolah Menengah Teknik Bachok, seorang dalam tingkatan tiga di bawah tajaan Permodalan Nasional Berhad di Bandar Salak Tinggi dan yang bongsu di tahun lima Sekolah Kebangsaan Parang Puting di sini.
Ujarnya, sekiranya Nik Nur Madihah meminta wang untuk membeli buku, dia dan suami akan berusaha mencari wang tersebut tetapi selalunya ia tidak diberi serta-merta kerana kesempitan hidup.
“Kakak tidak banyak kerenah dan agak pendiam. Dia pun tidak beritahu kami dia ambil 20 mata pelajaran dalam SPM sehinggalah saat-saat akhir,” ujarnya.

Baca seterusnya...

PELAJAR CEMERLANG SPM 2008

Nik Nur Madihah peroleh 20 A

KOTA BHARU 12 Mac - Anak seorang nelayan, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) di sini mencatat sejarah di negeri ini apabila memperoleh 20 A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008.

Kejayaan itu menjadikan pelajar tersebut antara yang paling cemerlang di seluruh negara dengan mendapat 19 1A dan satu 2A, kurang satu mata pelajaran berbanding pencapaian pelajar terbaik SPM 2007, Azali Azlan yang memperoleh 21 A.

Nik Nur Madihah juga membuktikan kesusahan keluarga bukan halangan untuk dia mencapai kecemerlangan walaupun mengambil sebanyak mungkin mata pelajaran bagi menguji keupayaan dirinya dalam menghadapi cabaran hidup sebagai pelajar.

Anak sulung daripada empat beradik yang berasal dari Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa dekat sini itu bercita-cita menjadi ahli fizik dan kejayaan tersebut adalah hadiah istimewa untuk ibu bapanya di samping guru-guru sekolahnya.

Ayahnya, Nik Mohd. Kamal Husin, 41, hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM700 sebulan dan bagi meringankan bebanan keluarga, ibunya, Mariani Omar, 42, pula bekerja sebagai pencuci di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

''Saya tidak ikut kelas tambahan di luar sekolah, hanya tumpukan perhatian pada apa yang boleh ditimba di sekolah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, dia menjadikan kejayaan pelajar cemerlang negara, Azali Azlan yang memperoleh 21 A dalam keputusan SPM tahun 2007 sebagai pembakar semangat.

Nur Madihah memperoleh 1A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Sains, Kesusasteraan Melayu dan Geografi.

Dia turut mendapat A1 dalam Bahasa Arab Tinggi, Matematik Tambahan, Perdagangan, Prinsip Perakaunan, Ekonomi Asas, Fizik, Kimia, Tasawwur Islam, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, English for Science and Technology (EST) dan mendapat satu 2A dalam Biologi.

Nur Madihah cuma menyasarkan A bagi 18 mata pelajaran dan bersyukur kerana dia mampu melakukan sesuatu yang lebih baik walaupun tidak dapat memecah rekod Azali Azlan, bekas pelajar SMK Agama Yan, Kedah yang memperoleh 20 1A dan satu 2A.

Keputusan SPM Nik Nur Madihah bagaimanapun telah mengatasi rekod yang dipegang oleh dua pelajar cemerlang SPM 2006 di peringkat negara iaitu Nadiah Amirah Jamil dan Siti Fatimah Mukhtar.

Siti Fatimah yang belajar di sekolah yang sama dengan Nur Madihah, memperoleh keputusan 18 A dengan 17 1A dan 1 2A pada 2006 sekali gus mencatat sejarah pencapaian tertinggi di Kelantan pada tahun itu.

Ditanya tentang pencapaiannya itu, Nur Madihah memberitahu, dia tidak mempunyai jadual waktu yang tetap.

''Saya belajar setiap masa yang terluang dan belajar apabila terasa mahu belajar tanpa terpaksa atau dipaksa," ujarnya yang memperoleh 9 A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dua tahun lalu.

Dia yang bercadang melanjutkan pengajian di Asia Barat memilih jurusan fizik kerana mendapati kurang orang Melayu menerokai bidang tersebut.

Baca seterusnya...

RENUNGAN

RENUNGAN

Blog Archive

MACAM-MACAM ADA