BLOG PUSAT SUMBER SK. PARIT HAJI TAIB ...

IKLAN


Thursday, June 25, 2009

TOKOH NILAM DAERAH KERIAN

Pemilihan tokoh Nilam peringkat daerah Kerian untuk tahun 2009 telah diadakan pada 25 Jun 2009.Pemilihan pada kali ini telah diadakan di PKG Bagan Serai.Pemilihan ini adalah untuk mencari tokoh Nilam dari daerah Kerian untuk mewakili Kerian ke peringkat negeri Perak.

Antara aspek yang dinilai ialah :
i- Penulisan
ii-Pemahaman
iii-Isu-isu semasa



Pegawai Teknologi Pendidikan PKG Bagan Serai En. Sofian sedang memberi taklimat


Guru pengiring bersama peserta


Tekun mendengar taklimat

Baca seterusnya...

SASTERAWAN NEGARA (NOORDIN BIN HASSAN)


LAHIR : 18 Januari 1929 di Jalan Hatin, Pulau Pinang.
ALAMAT : 60, Jalan Limau Kasturi, Bangsar Park, 59000 Kuala Lumpur.


TIDAK hairan jika dunia seni menjadi pilihan Noordin Hassan kerana ayahnya sendiri, Hassan Aluih Pakcik Kaya adalah seorang yang dikenal sebagai tukang karang boria, sejenis permainan tradisi di Pulau Pinang dan Seberang Perai. Ayah beliau merupakan seorang pencinta seni dan tokoh yang Ismail sangat mengambil berat terhadap pendidikan agama.

Selepas mendapat tiga orang anak perempuan, Hassan pernah memberitahu isterinya, jika anak yang keempat nanti juga perempuan, dia akan kahwin lagi untuk mendapatkan anak lelaki. Sudah takdir Tuhan, anak yang keempat itu seorang lelaki; itulah kini yang dikenal dengan nama Noordin Hassan, seorang penulis drama yang tidak asing lagi kepada peminat-peminat drama tanah air. Ayah beliau meninggal dunia sewaktu Noordin berusia tiga tahun.

Pada akhir tahun 1930-an, Noordin Hassan memulakan persekolahannya di Sekolah Melayu Perak Road, Pulau Pinang. Satu peristiwa yang tidak dapat dilupakannya ketika belajar di sekolah ini ialah apabila pada suatu hari beliau melukis misai di gambar King Geroge yang terdapat di kulit buku. Menurut Noordin, “Misai itu sebenarnya kurang terang, jadi saya lebatkan”. Apabila buku itu dipulangkan, gurunya telah memanggil beliau ke hadapan darjah. Dengan tidak disangka-sangkanya, gurunya menampar Noordin. Buku itu ditunjukkan kepada murid-murid dalam darjah sebagai amaran dan buku itu kemudiannya dikoyak. Peristiwa itu sentiasa menjadi kenangan dan ingatan dalam hidup Noordin kerana ternyata kemudian apabila beliau menuntut di England, mata pelajaran khusus yang diikutinya tidak lain daripada bidang seni lukis.

Selepas belajar di sekolah Melayu, Noordin kemudian mengikuti kelas peralihan yang waktu itu dikenal dengan nama Special Malay Class, di Sekolah Inggeris Francis Light, Pulau Pinang, menggunakan pengantar bahasa Inggeris bagi semua mata pelajaran. Pada sebelah tengah hari hingga petang beliau belajar mengaji al-Quran dan sekolah agama di Masjid Rawana yang terletak di Perak Road. Ibu beliau berharap bahawa pada suatu hari nanti Noordin Hassan akan menjadi seorang alim yang mengajar pelajaran agama dan al-Quran, seperti Imam Manaf, iaitu imam di masjid Rawana pada masa itu.

Noordin tidak lama belajar di Sekolah Francis Light kerana pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Waktu itu beliau masih dalam alam remaja dan pernah bekerja sebagai `boy’ di sebuah rumah keluarga Jepun. Pada masa itu ada seorang Jepun, yang baik hati mengajarnya bahasa dan nyanyian Jepun, serta cerita-cerita dongeng Jepun kepada Noordin. Pengalaman ini mempengaruhi Noordin sehingga beliau begitu tertarik menonton filem-filem Jepun dan berminat pada kesusasteraan Jepun sehingga hari ini.

Apabila Jepun menyerah kalah pada tahun 1945 dan Inggeris kembali di Tanah Melayu, Noordin menyambung pengajiannya di Penang Free School. Di sekolah yang dianggap sebagai `elit’ pada waktu itu, Noordin mempelajari kesusasteraan Inggeris dan diajar oleh guru-guru Inggeris sendiri. Beliau lulus peperiksaan Sijil Persekolahan dengan cemerlang. Noordin juga dipilih sebagai pengawas di sekolah tersebut. Beliau bangga dengan jawatannya itu di samping menjadi kapten hoki bagi pasukan sekolah, bermain bola sepak, dan kriket.

Pada tahun 1952, Noordin Hassan dihantar oleh kerajaan belajar di Kirkby College, Liverpool untuk persiapan menjadi guru terlatih. Beliau mengambil seni lukis sebagai mata pelajaran khusus. Semasa di Kirkby beliau sekali lagi mendalami kesusasteraan Inggeris dan Barat, dengan mengaji karya-karya Shakespeare, Sheridan, Goldsmith, dan Molierre. Selama di England beliau berpeluang menonton drama-drama Barat terutama karya-karya Shakespeare. Bagi keperluan pengajiannya, beliau telah menulis tentang J.M.W. Turner seorang pelukis Inggeris. Noordin sempat melawat ke beberapa buah negara di Eropah, dan tidak ketinggalan mengunjungi balai-balai seni lukis.

Pada tahun 1953, Noordin pulang ke tanah air, menjadi guru Seni Lukis dan Bahasa Melayu di Sekolah Perempuan Kampung Baharu, Alor Setar. Pada tahun itu, Noordin telah mementaskan dramanya yang pertama berjudul “Tak Kunjung Kembali” yang memakan masa 40 minit. Bermulalah minatnya dalam bidang penulisan dan pementasan drama. Noordin semakin bergiat dalam lapangan drama semasa mengajar di Sekolah Sultanah Asma dan Sekolah Sultan Abdul Hamid, Alor Setar. Pada masa menjadi pensyarah di Maktab Harian Alor Setar 1957-1962, beliau telah menulis dan mementaskan beberapa buah drama di samping mempersembahkan tarian-tarian, boria dan muzika dengan para pelakonnya terdiri daripada penuntut-penuntut maktab.

Pada tahun 1962, Noordin Hassan bertolak sekali lagi ke Universiti London untuk mempelajari Pengajaran Bahasa Inggeris. Semasa di sana, beliau berpeluang menonton beberapa pementasan karya dramatis-dramatis yang `avant-garde” dan `eksperimental”. Beliau tertarik hati dengan pemikiran dan cara pementasan mereka. Beliau pulang ke tanah air dalam tahun 1964, lalu menjadi penasihat bagi Persatuan Drama, Maktab Perguruan Alor Setar, kemudian beliau telah mengarahkan drama untuk Majlis Kesenian Negeri Kedah. Selepas itu, Noordin Hassan menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim. Di maktab ini, lahirlah drama-dramanya yang berjudul “Bukan Lalang Ditiup Angin”, “Tiang Seri Tegak Berlima” dan “Pintu” yang dipentaskan oleh penuntut-penuntut maktab tersebut.

Pada tahun 1976, Noordin ditukar ke Maktab Perguruan Persekutuan, Jalan Notham, Pulau Pinang. Pada akhir tahun tersebut Noordin ke England buat kali ketiga ke University of Newscastle, kerana mengikuti kursus Drama dalam Pendidikan (Drama in Education). Banyak waktu dihabiskan dengan drama. Beliau menyedari bahawa sudah sampai masanya penulis kita khususnya menulis sesuatu yang sesuai dengan keperibadian dan “Psyche” orang Melayu khasnya dan dunia amnya. Mereka harus berpegang kuat kepada falsafah dan kepercayaan hidup sendiri. Malah keagungan di Barat tidak harus dijadikan kayu ukur atau sebagai perbandingan dengan karya-karya tempatan. Penulis kita harus bertolak dan kembali kepada hakikat kewujudan diri sendiri. Menulis bagi Noordin adalah untuk menegakkan maruah, suatu pengabdian kepada bangsa, dengan keredaan Allah.

Pada tahun 1978, Noordin Hassan bertukar ke Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur. Sebagai pensyarah, beliau mengajar Bahasa Malaysia, ilmu pendidikan dan memberi kursus kepada guru-guru dalam perkhidmatan mengenai pengajaran bahasa melalui drama. Beliau dilantik menjadi penasihat kepada persatuan drama maktab tersebut.

Pada tahun 1984, Noordin Hassan menyertai Bahagian Skrip dan Cereka, Radio, dan Televisyen Malaysia (RTM) sebagai pegawai kontrak. Di RTM beliau bertanggungjawab terhadap skrip drama dan cereka untuk siaran di Radio dan Televisyen Malaysia.

Sebagai seorang penulis dan pengarah drama, sumbangan Noordin Hassan telah diperkatakan dengan meluas melalui media massa sama ada akhbar, majalah, atau jurnal. Sepanjang penglibatan beliau dalam dunia drama sejak tahun 1953, beliau telah menghasilkan tidak kurang daripada 30 buah drama dan kareografi tarian. Pada tahun 1972, Noordin Hassan telah memenangi Hadiah Karya Sastera dengan dramanya yang berjudul “Bukan Lalang Ditiup Angin”. Drama ini telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dalam tahun 1979 bersama-sama dramanya yang bertajuk “Tiang Seri Tegak Berlima” dan “Pintu” dengan judul Bukan Lalang Ditiup Angin.

Selain itu dramanya yang penting termasuk “Jangan Bunuh Rama-rama”, “1400” , dan “Teater Fitrah”. Kesemua drama ini masing-masing telah disiarkan dalam Dewan Sastera 1979, 1981 dan 1983. Beliau juga telah menulis skrip untuk pantonim dan tamsil bagi majlis pembukaan Musabaqah al-Quran Peringkat Antarabangsa dari tahun 1978 hingga tahun 1985.

Pada tahun 1979, Noordin Hassan telah dianugerahkan bintang Ahli Mangku Negara oleh Yang di-Pertuan Agong. Dalam tahun 1995, Noordin telah dianugerahi bintang kebesaran negeri yang membawa gelaran “Dato”.

Beliau merupakan penulis drama yang penting dalam perkembangan kesusasteraan Melayu moden dan akhir-akhir ini Noordin banyak menunjukkan kecenderungannya menghasilkan karya-karya drama yang mengandungi konsep dan unsur-unsur Islam. Sumbangan beliau yang amat bermakna dalam perkembangan teater Noordin telah dianugerahi Anugerah Sastera Negara pada tahun 1993.

KARYA

Drama :

Bukan Lalang Ditiup Angin, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979, 145 hlm.; Anak Tanjung, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, 135 hlm.; Saya... dari Hujung Kota, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996, 367 hlm.; Peran (Edisi Khas Sasterawan Negara), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, 231 hlm.

Baca seterusnya...

MENGGALAK KANAK-KANAK MAKAN BUAH DAN SAYUR



Sayur-sayuran dan buah-buahan merupakan salah satu makanan yang terdapat dalam piramid makanan. Ia merupakan sumber makanan yang murah dan mudah didapati. Buah-buahan dan sayur-sayuran kaya dengan zat dan vitamin yang penting untuk tubuh dan kesihatan.

Apa yang ada dalam buah dan sayur?

a-Zat dan mineral
b-Vitamin A
c-Vitamin B
d-Vitamin C

Kebanyakan buah-buahan dan sayur-sayuran mempunyai vitamin A,B dan C serta mineral-mineral yang lain. Jadi, singkatan ABC merupakan satu pendekatan dalam menggalakkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan di kalangan kanak-kanak.

Bagaimana menggalakkan kanak-kanak makan sayur dan buah?
1. Sentiasa AMALKAN..
o Menjadikan buah sebagai snek menggantikan makanan ringan.
o Menggantikan minuman berkarbonat dengan jus buah-buahan.
o Makan sayur dan salad atau ulam semasa makan tengahari dan makan malam.
2. Sentiasa BUAT…
o Menambahkan sayur dalam masakan dan hidangan seperti mi goreng dan sandwich.
o Masak sayur dengan air sedikit.
o Masak dengan cara yang rendah lemak seperti kukus, rebus, celur, tumis
dengan sedikit minyak.
o Elakkan memasak yang terlalu lama.
3. Sentiasa CAKAP….
o Yummm.yummm…sedapnya makan buah dan sayur ini..
o Slurpppppp…lazatnya jus buah ini..
o Kurp..Kurp..krup…enaknya sayur kacang ini..
o Wowww…ada pelbagai warna dan rasa buah dan sayur.
o Eeeekkk…buah dan sayur ini menghilangkan rasa lapar dan dahaga..
Jadi…
Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan vitamin dan mineral dapat meningkatkan daya ketahanan badan daripada penyakit, menghindari sembelit dan mengurangkan risiko kejadian penyakit jantung dan kanser. Jika kanak-kanak diajar memakan sayur pada peringkat awal, risiko mendapat penyakit dapat dikurangkan. Pendekatan ABC dapat membantu menggalakkan pengambilan buah dan sayur di kalangan kanak-kanak. Ini penting untuk kesihatan mereka. Jadi, dengan ABC, Anak anda Boleh Cuba…

Baca seterusnya...

Friday, June 19, 2009

KENALI BUKU

MENGENALI JENIS-JENIS BUKU

Buku Fiksyen
• Buku Bukan Fiksyen
• Buku Rujukan

Buku Fiksyen
• Buku Fiksyen Melayu
• Buku Fiksyen Inggeris

Buku Bukan Fiksyen
• Karya Am
• Falsafah
• Agama
• Sains Kemasyarakatan
• Bahasa
• Sains Tulen
• Teknologi
• Kesenian
• Kesusasteraan
• Sejarah & Geografi


Buku Rujukan

Buku Rujukan Umum :
Karya Am - 000 - 099
Falsafah - 100 - 199
Agama - 200 - 299
Sains Kemasyarakatan - 300 - 399
Bahasa - 400 – 499
Sains Tulen - 500 - 599
Teknologi - 600 - 699
Kesenian - 700 - 799
Kesusasteraan - 800 - 899
Sejarah & Geografi - 900 - 999

Buku Rujukan Am

Buku-buku rujukan am memberi maklumat umum dan berguna untuk semua orang. Ia berguna untuk rujukan cepat tetapi tidak begitu mendalam. Antara buku rujukan am adalah:-

Almanak

Almanak merupakan koleksi pelbagai fakta dan maklumat perangkaan. Ia juga merupakan kalendar tahunan yang mengandungi senarai haribulan dengan maklumat lain seperti terbit dan masuk matahari, air pasang surut, peredaran bulan dan ramalan cuaca.

Atlas

Atlas merupakan buku yang mengandungi peta-peta, gambar rajah dan fakta-fakta dan data-data tentang sesuatu tempat; sesebuah tempat dan pelbagai maklumat lain berkenaan dengan sesebuah negeri atau Negara tertentu yang terdapat di seluruh dunia. Atlas mengandungi indeks yang memberikan baris-baris grid dan koordinasi untuk mencari lokasi tempat atau menentukan tempat-tempat berkenaan.

Direktori

Direktori adalah buku yang memuatkan maklumat tentang orang ramai, tempat, organisasi, individu, keahlian, data organisasi, alamat dan nombor telefon. Maklumat disusun secara sistematik berdasarkan urutan abjad atau perkara.

Ensiklopedia Umum

Ensiklopedia merupakan bahan rujukan yang memuatkan maklumat luas tentang semua cabang ilmu pengetahuan yang pada umumnya disusun mengikut abjad. Ensiklopedia memuatkan semua tajuk tentang peristiwa atau fakta dan mampu menjawab persoalan tentang apa, bila, siapa, di mana, mengapa dan bagaimana kecuali hal-hal yang bersifat mutakhir. Penghuraiannya jelas dan kadang-kadang ia dilengkapi gambar-gambar dan ilustrasi bergambar untuk menjelaskan lagi maksud yang hendak disampaikan.

Gazetir
Buku gazetir memberi maklumat geografi dan data mengenai tempat-tempat atau lokasi. Ia tidak memberi definisi istilah-istilah geografi. Selain daripada maklumat geografi ia juga menyediakan maklumat berkenaan sejarah, perangkaan, kebudayaan dan fakta-fakta yang lain mengenai tempat-tempat. Gazetir disusun mengikut abjad.

Kamus

Kamus merupakan buku koleksi perkataan dan maklumat tentang perkataan seperti definisi, makna, asal-usul, sebutan, suka kata, tatabahasa, penggunaan dan kedudukan semasa dalam susunan berabjad.

Buku Rujukan Khas

Buku-buku Rujukan Khas memberi maklumat semasa secara terperinci, mendalam dan khusus untuk pengguna-pengguna tertentu sahaja. Ia mengandungi maklumat terperinci mengenai satu cabang ilmu sahaja. Antara buku rujukan khas adalah :

Abstrak

Abstrak adalah satu penerbitan yang merupakan sesuatu perwakilan yang lepas dan ringkasan tentang isi kandungan sesuatu dokumen serta mengikut gaya penulisan yang sama dengan dokumen yang asal.

Bibliografi

Bibliografi merupakan satu senarai nama buku atau daftar penerbitan yang disusun mengikut nama pengarang,judul atau subjek dan disusun dalam susunan berabjad. Ia terdapat di bahagian akhiran sesebuah bahanpenerbitan bercetak. Bibliografi
mengandungi judul buku, nama pengarang, tempat dan tahun diterbitkan.

Biografi

Biografi adalah buku yang mengandungi koleksi maklumat mengenai riwayat hidup individu.

Ensiklopedia Khusus
Ia terdiri daripada satu jilid atau beberapa jilid dan mengandungi keterangan yang lebih khusus dan mendalam bagi satu-satu perkara atau bidang yang berkenaan.

Glosari
Glosari merupakan satu senarai keterangan tentang istilah atau perkataan tertentu mengikut tajuk atau bidang berserta takrifnya yang disusun menurut abjad, khusus bagi sesuatu bidang pengetahuan. Apabila pembaca membaca sesebuah buku, banyak perkataan baru akan ditemui. Untuk memahami maksud perkataan-perkataan tersebut, pembaca boleh merujuk halaman glosari di bahagian akhiran buku bukan fiksyen. Halaman glosari akan menerangkan maksud perkataan-perkataan baru yang terdapat dalam buku yang dibaca. Halaman ini mengandungi perkataan-perkataan yang penulis anggapkan baru kepada pembaca atau perkataan yang mempunyai makna tertentu di dalam buku yang ditulis oleh pengarang.

Indeks
Satu senarai petunjuk yang disusun secara berabjad mengenai sesuatu maklumat seperti perkataan atau topik.

Istilah
Perkataan yang mempunyai makna yang khas dalam sesuatu bidang ilmu pengetahuan.

Baca seterusnya...

KARANGAN/PENULISAN BAHASA MELAYU UPSR

Karangan Bahasa Melayu UPSR terbahagi kepada dua jenis:

1. Karangan Berformat
2. Karangan Tidak Berformat

1. Karangan Berformat
a) berita
b) catatan
c) dialog/temu ramah
d) laporan
e) perbahasan
f) syarahan
g) ucapan
h) surat kiriman tidak rasmi
i) surat kiriman rasmi

2. Karangan Tidak Berformat
a) cerita
b) keperihalan
c) biografi/autobiografi
d) fakta
e) perbincangan
f) peribahasa

- Setiap karangan mestilah mengandungi tidak kurang daripada 80 patah perkataan
- Masa yang dicadangkan untuk menjawab adalah 40 minit ( untuk bahagian B sahaja )

Baca seterusnya...

Thursday, June 18, 2009

BAHASA MELAYU UPSR

PANDUAN MENJAWAB KERTAS BAHASA MELAYU PENULISAN (KERTAS 012)

SEBELUM MENJAWAB

1.Baca dan faham arahan soalan.
a) Tulis lima nilai murni atau pengajaran yang boleh kamu dapati daripada petikan atau puisi.
b) Panjang jawapan kamu mestilah tidak lebih daripada 50 patah perkataan.
c) Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.

2. Mencatat nilai murni/pengajaran/amalan yang baik
a) Baca petikan atau puisi yang diberi secara keseluruhan dan cuba faham isi kandungannya.
b) Baca petikan atau puisi yang diberi secara ayat demi ayat dan gariskan ayat / rangkaikata yang mempunyai nilai-nilai murni.
c) Jika terdapat nilai yang negatif, jadikan nilai itu kepada positif.
( Contoh: bangun lewat – bangun awal)

3. Senaraikan nilai murni seberapa banyak yang dapat ( melebihi 5 nilai murni )
4. Memahami nilai yang tersurat dan tersirat.
5. Elakkan membuat ulasan dalam bentuk cerita.
6. Hanya nilai positif yang terdapat dalam petikan sahaja diterima.
7. Elakkan / jangan menyalin semula petikan kerana ini menyebabkan aras penskoran akan turun(PTM)

SEMASA MENJAWAB

1.Berpandukan nilai-nilai murni yang telah dicatat, tulis jawapan dengan menggunakan ayat sendiri dan cuba gunakan penanda wacana yang sesuai untuk membina ayat yang gramatis.
2. Ulasan hendaklah tulis dalam satu perenggan sahaja.
3. Elakkan / jangan menyalin semula petikan kerana ini menyebabkan aras penskoran akan turun.
4. Peribahasa atau kata hikmat tidak perlu dimasukkan.
5.Kemukakan lebih daripada 5 (lima) nilai/pengajaran.
6.Ulasan tidak perlu terlalu panjang. Satu nilai memadai dengan satu ayat sahaja.( cadangan 8 – 10 perkataan )
7.Hanya nilai positif yang terdapat dalam petikan sahaja diterima.

SELEPAS MENJAWAB

1. Semak 5 aspek kesalahan bahasa. ( perbendaharaan kata, struktur ayat, imbuhan, ejaan dan tanda baca )
2. Pastikan terdapat 5 nilai murni / pengajaran.
3. Bilangan perkataan tidak lebih daripada 50 patah perkataan .
4. Jangan mencatat di ruang jawapan.

Baca seterusnya...

Wednesday, June 17, 2009

SASTERAWAN NEGARA ( A. Samad Said )

BIODATA

A. SAMAD SAID dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Dia menerima pendidikan di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura (1940-1946), Victoria Institution sehingga memperolehi Sijil Senior Cambridge (1956). Pencapaian dan sumbangan Samad Said dalam memperkaya dan meninggikan nilai kesusasteraan Melayu telah mendapat penghargaan pemerintah apabila pada 29 Mei 1976 bersama beberapa pengarang lain beliau telah diiktiraf sebagai Pejuang Sastera.

Tahun 1979 turut memberi erti pada Samad, apabila beliau dilantik oleh Perdana Menteri sebagai salah seorang anggota panel Anugerah Sastera dan dalam tahun yang sama beliau telah memenangi Hadiah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award). Kemuncak pencapaian Samad sebagai sasterawan ialah apabila beliau dipilih sebagai penerima Anugerah Sastera Negara 1985. Dalam majlis penganugerahan itu telah dipentaskan sedutan drama terbaru A. Samad Said berjudul Wira Bukit. Dalam bidang penulisan, A. Samad Said turut menggunakan nama pena Hilmy, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra dan Shamsir.


PROFIL RINGKAS

Nama: Datuk Abdul Samad Muhammad Said. Nama Pena: A Samad Said, Hilmy Isa, Isa Dahmuri, Jami Kelana. Tarikh/Tempat Lahir: Pada 9.4.1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Pendidikan: Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura (1940-46), Sekolah Jepun (3 bulan), Victoria Institution sehngga Senior Cambridge, 1956). Kerjaya: Kerani hospital, Pengrang Utusan Melayu, Pengarang Warta Tebrau, Pengarang Berita Harian. Anugerah: Pejuang Sastera (1976), SEA Write Award (1979), Sasterawan Negara (19850, Sasterawan Nusantara (1999). Karya: Salina, Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Langit Petang, Daerah Zeni, Hujan Pagi, Lantai T Pinkie, Wira Bukit, Benih Harapan, Benih Semalu, Daun Semalu Pucuk Paku, Warkah Eropah, Al-Amin, Suara Dari Dinding Dewan.

Baca seterusnya...

Sunday, June 14, 2009

KEM MOTIVASI UPSR 2009

Pada 8 , 9 dan 10 Jun yang lalu murid-murid yang akan mengambil UPSR pada tahun ini telah dibawa menyertai Kem Motivasi UPSR di Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang,Kuala Sepetang.Selama 3 hari 2 malam pelbagai aktiviti telah dianjurkan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar disamping bersantai sambil menghirup udara segar hutan simpan paya bakau yang terkenal di Malaysia tersebut. Kuala Sepetang bukan sahaja terkenal dengan hutan bakaunya tetapi juga popular dengan mi udang .Di sini pengunjung boleh makan mi udang di kedai Mak Teh,kedai Mak Jah,Pak Hasim dan lain-lain lagi.SEDAPkah ? …entahlah…blogger sendiri hanya berkesempatan makan mi udang KUBUR.Kalau nak harap mi udang Mak Teh mungkin kena tunggu dua jam baru boleh makan.


Antara aktiviti yang dijalankan ialah ceramah teknik menjawab soalan,motivasi dan kembara.Adalah diharapkan dengan pendedahan yang telah dibuat, para calon UPSR tahun ini akan memperoleh keputusan yang membanggakan sekolah. Insyaallah… Terima kasih Jabatan Perhutanan Negeri Perak kerana telah memberi kebenaran kepada pihak sekolah untuk mengadakan kem motivasi ini di Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang,Kuala Sepetang. Terima kasih juga kepada semua penceramah jemputan dan semua guru pengiring yang telah bekerja keras bagi memastikan kejayaan program motivasi ini.




Guru Cemerlang Bahasa Melayu SKPHT sedang memberi ceramah


Peserta tekun mendengar ceramah






Jalan menuju ke chalet






Chalet penginapan peserta









Dewan















Papan kenyataan yang disediakan











Sebahagian daripada guru pengiring yang hadir

















Blogger(kiri) bersama blogger skphjtaib





Guru pengiring bersama tauke kantin SKPHT







Keindahan hutan bakau Kuala Sepetang











Jeti Jabatan Perhutanan Perak






















Sebahagian daripada bot Jabatan Perhutanan









pemandangan yang menenangkan jiwa







Kantin yang terletak berhampiran sungai






Sungai ini menuju ke Pulau Kelumpang

Baca seterusnya...

RENUNGAN

RENUNGAN

Blog Archive

MACAM-MACAM ADA