BLOG PUSAT SUMBER SK. PARIT HAJI TAIB ...

IKLAN

CERITA TERKINI KAMI

Thursday, June 25, 2009

SASTERAWAN NEGARA (NOORDIN BIN HASSAN)


LAHIR : 18 Januari 1929 di Jalan Hatin, Pulau Pinang.
ALAMAT : 60, Jalan Limau Kasturi, Bangsar Park, 59000 Kuala Lumpur.


TIDAK hairan jika dunia seni menjadi pilihan Noordin Hassan kerana ayahnya sendiri, Hassan Aluih Pakcik Kaya adalah seorang yang dikenal sebagai tukang karang boria, sejenis permainan tradisi di Pulau Pinang dan Seberang Perai. Ayah beliau merupakan seorang pencinta seni dan tokoh yang Ismail sangat mengambil berat terhadap pendidikan agama.

Selepas mendapat tiga orang anak perempuan, Hassan pernah memberitahu isterinya, jika anak yang keempat nanti juga perempuan, dia akan kahwin lagi untuk mendapatkan anak lelaki. Sudah takdir Tuhan, anak yang keempat itu seorang lelaki; itulah kini yang dikenal dengan nama Noordin Hassan, seorang penulis drama yang tidak asing lagi kepada peminat-peminat drama tanah air. Ayah beliau meninggal dunia sewaktu Noordin berusia tiga tahun.

Pada akhir tahun 1930-an, Noordin Hassan memulakan persekolahannya di Sekolah Melayu Perak Road, Pulau Pinang. Satu peristiwa yang tidak dapat dilupakannya ketika belajar di sekolah ini ialah apabila pada suatu hari beliau melukis misai di gambar King Geroge yang terdapat di kulit buku. Menurut Noordin, “Misai itu sebenarnya kurang terang, jadi saya lebatkan”. Apabila buku itu dipulangkan, gurunya telah memanggil beliau ke hadapan darjah. Dengan tidak disangka-sangkanya, gurunya menampar Noordin. Buku itu ditunjukkan kepada murid-murid dalam darjah sebagai amaran dan buku itu kemudiannya dikoyak. Peristiwa itu sentiasa menjadi kenangan dan ingatan dalam hidup Noordin kerana ternyata kemudian apabila beliau menuntut di England, mata pelajaran khusus yang diikutinya tidak lain daripada bidang seni lukis.

Selepas belajar di sekolah Melayu, Noordin kemudian mengikuti kelas peralihan yang waktu itu dikenal dengan nama Special Malay Class, di Sekolah Inggeris Francis Light, Pulau Pinang, menggunakan pengantar bahasa Inggeris bagi semua mata pelajaran. Pada sebelah tengah hari hingga petang beliau belajar mengaji al-Quran dan sekolah agama di Masjid Rawana yang terletak di Perak Road. Ibu beliau berharap bahawa pada suatu hari nanti Noordin Hassan akan menjadi seorang alim yang mengajar pelajaran agama dan al-Quran, seperti Imam Manaf, iaitu imam di masjid Rawana pada masa itu.

Noordin tidak lama belajar di Sekolah Francis Light kerana pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Waktu itu beliau masih dalam alam remaja dan pernah bekerja sebagai `boy’ di sebuah rumah keluarga Jepun. Pada masa itu ada seorang Jepun, yang baik hati mengajarnya bahasa dan nyanyian Jepun, serta cerita-cerita dongeng Jepun kepada Noordin. Pengalaman ini mempengaruhi Noordin sehingga beliau begitu tertarik menonton filem-filem Jepun dan berminat pada kesusasteraan Jepun sehingga hari ini.

Apabila Jepun menyerah kalah pada tahun 1945 dan Inggeris kembali di Tanah Melayu, Noordin menyambung pengajiannya di Penang Free School. Di sekolah yang dianggap sebagai `elit’ pada waktu itu, Noordin mempelajari kesusasteraan Inggeris dan diajar oleh guru-guru Inggeris sendiri. Beliau lulus peperiksaan Sijil Persekolahan dengan cemerlang. Noordin juga dipilih sebagai pengawas di sekolah tersebut. Beliau bangga dengan jawatannya itu di samping menjadi kapten hoki bagi pasukan sekolah, bermain bola sepak, dan kriket.

Pada tahun 1952, Noordin Hassan dihantar oleh kerajaan belajar di Kirkby College, Liverpool untuk persiapan menjadi guru terlatih. Beliau mengambil seni lukis sebagai mata pelajaran khusus. Semasa di Kirkby beliau sekali lagi mendalami kesusasteraan Inggeris dan Barat, dengan mengaji karya-karya Shakespeare, Sheridan, Goldsmith, dan Molierre. Selama di England beliau berpeluang menonton drama-drama Barat terutama karya-karya Shakespeare. Bagi keperluan pengajiannya, beliau telah menulis tentang J.M.W. Turner seorang pelukis Inggeris. Noordin sempat melawat ke beberapa buah negara di Eropah, dan tidak ketinggalan mengunjungi balai-balai seni lukis.

Pada tahun 1953, Noordin pulang ke tanah air, menjadi guru Seni Lukis dan Bahasa Melayu di Sekolah Perempuan Kampung Baharu, Alor Setar. Pada tahun itu, Noordin telah mementaskan dramanya yang pertama berjudul “Tak Kunjung Kembali” yang memakan masa 40 minit. Bermulalah minatnya dalam bidang penulisan dan pementasan drama. Noordin semakin bergiat dalam lapangan drama semasa mengajar di Sekolah Sultanah Asma dan Sekolah Sultan Abdul Hamid, Alor Setar. Pada masa menjadi pensyarah di Maktab Harian Alor Setar 1957-1962, beliau telah menulis dan mementaskan beberapa buah drama di samping mempersembahkan tarian-tarian, boria dan muzika dengan para pelakonnya terdiri daripada penuntut-penuntut maktab.

Pada tahun 1962, Noordin Hassan bertolak sekali lagi ke Universiti London untuk mempelajari Pengajaran Bahasa Inggeris. Semasa di sana, beliau berpeluang menonton beberapa pementasan karya dramatis-dramatis yang `avant-garde” dan `eksperimental”. Beliau tertarik hati dengan pemikiran dan cara pementasan mereka. Beliau pulang ke tanah air dalam tahun 1964, lalu menjadi penasihat bagi Persatuan Drama, Maktab Perguruan Alor Setar, kemudian beliau telah mengarahkan drama untuk Majlis Kesenian Negeri Kedah. Selepas itu, Noordin Hassan menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim. Di maktab ini, lahirlah drama-dramanya yang berjudul “Bukan Lalang Ditiup Angin”, “Tiang Seri Tegak Berlima” dan “Pintu” yang dipentaskan oleh penuntut-penuntut maktab tersebut.

Pada tahun 1976, Noordin ditukar ke Maktab Perguruan Persekutuan, Jalan Notham, Pulau Pinang. Pada akhir tahun tersebut Noordin ke England buat kali ketiga ke University of Newscastle, kerana mengikuti kursus Drama dalam Pendidikan (Drama in Education). Banyak waktu dihabiskan dengan drama. Beliau menyedari bahawa sudah sampai masanya penulis kita khususnya menulis sesuatu yang sesuai dengan keperibadian dan “Psyche” orang Melayu khasnya dan dunia amnya. Mereka harus berpegang kuat kepada falsafah dan kepercayaan hidup sendiri. Malah keagungan di Barat tidak harus dijadikan kayu ukur atau sebagai perbandingan dengan karya-karya tempatan. Penulis kita harus bertolak dan kembali kepada hakikat kewujudan diri sendiri. Menulis bagi Noordin adalah untuk menegakkan maruah, suatu pengabdian kepada bangsa, dengan keredaan Allah.

Pada tahun 1978, Noordin Hassan bertukar ke Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur. Sebagai pensyarah, beliau mengajar Bahasa Malaysia, ilmu pendidikan dan memberi kursus kepada guru-guru dalam perkhidmatan mengenai pengajaran bahasa melalui drama. Beliau dilantik menjadi penasihat kepada persatuan drama maktab tersebut.

Pada tahun 1984, Noordin Hassan menyertai Bahagian Skrip dan Cereka, Radio, dan Televisyen Malaysia (RTM) sebagai pegawai kontrak. Di RTM beliau bertanggungjawab terhadap skrip drama dan cereka untuk siaran di Radio dan Televisyen Malaysia.

Sebagai seorang penulis dan pengarah drama, sumbangan Noordin Hassan telah diperkatakan dengan meluas melalui media massa sama ada akhbar, majalah, atau jurnal. Sepanjang penglibatan beliau dalam dunia drama sejak tahun 1953, beliau telah menghasilkan tidak kurang daripada 30 buah drama dan kareografi tarian. Pada tahun 1972, Noordin Hassan telah memenangi Hadiah Karya Sastera dengan dramanya yang berjudul “Bukan Lalang Ditiup Angin”. Drama ini telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dalam tahun 1979 bersama-sama dramanya yang bertajuk “Tiang Seri Tegak Berlima” dan “Pintu” dengan judul Bukan Lalang Ditiup Angin.

Selain itu dramanya yang penting termasuk “Jangan Bunuh Rama-rama”, “1400” , dan “Teater Fitrah”. Kesemua drama ini masing-masing telah disiarkan dalam Dewan Sastera 1979, 1981 dan 1983. Beliau juga telah menulis skrip untuk pantonim dan tamsil bagi majlis pembukaan Musabaqah al-Quran Peringkat Antarabangsa dari tahun 1978 hingga tahun 1985.

Pada tahun 1979, Noordin Hassan telah dianugerahkan bintang Ahli Mangku Negara oleh Yang di-Pertuan Agong. Dalam tahun 1995, Noordin telah dianugerahi bintang kebesaran negeri yang membawa gelaran “Dato”.

Beliau merupakan penulis drama yang penting dalam perkembangan kesusasteraan Melayu moden dan akhir-akhir ini Noordin banyak menunjukkan kecenderungannya menghasilkan karya-karya drama yang mengandungi konsep dan unsur-unsur Islam. Sumbangan beliau yang amat bermakna dalam perkembangan teater Noordin telah dianugerahi Anugerah Sastera Negara pada tahun 1993.

KARYA

Drama :

Bukan Lalang Ditiup Angin, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979, 145 hlm.; Anak Tanjung, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, 135 hlm.; Saya... dari Hujung Kota, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996, 367 hlm.; Peran (Edisi Khas Sasterawan Negara), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, 231 hlm.

0 ulasan:

KO KURIKULUM

SOCUT PERAK SCOUT MALAYSIA PUTERI ISLAM PBSM KRS

RENUNGAN

RENUNGAN

PUSAT SUMBER KELOMPOK PKG TELOK MEDAN

Blog Archive

MACAM-MACAM ADA