BLOG PUSAT SUMBER SK. PARIT HAJI TAIB ...

IKLAN


Sunday, June 7, 2009

Yang di-Pertuan Agong berangkat ke istiadat mengarak panji-panji


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah hari ini berangkat ke istiadat mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong di Dataran Merdeka, di sini.

Istiadat sempena sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong itu diadakan sebagai sembah ikrar taat setia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Seri Paduka selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera.

Turut hadir pada upacara itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis.

Keberangkatan tiba pasangan diraja di Dataran Merdeka tepat jam 8 pagi disambut dengan lagu Negaraku serentak dengan tembakan meriam 21 das.

Seri Paduka kemudian menaiki pentas untuk menerima tabik hormat pasukan kawalan kehormatan yang dianggotai pegawai dan anggota daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.

Pada masa yang sama lima pesawat helikopter milik ATM yang masing-masing membawa bendera Malaysia, ATM, Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut (TLDM) dan Tentera Udara (TUDM) terbang di ruang udara di atas Dataran Merdeka untuk upacara lintas hormat.
Yang di-Pertuan Agong dengan diiringi Panglima ATM Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal kemudian berkenan memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada 22 pegawai dan 546 anggota ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.

Istiadat mengarak Panji-panji Yang di-Pertuan Agong menyusul kemudiannya dengan penuh istiadat ketenteraan, dalam tempo kawad perlahan dan tempo kawad cepat.

Laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali oleh angota perbarisan bergema di Dataran Merdeka pada penghujung istiadat itu disusuli dengan bacaan doa.

Tuanku Mizan Zainal Abidin kemudain sekali lagi menerima tabik hormat daripada pasukan kawalan kehormatan dan lintas hormat oleh kelima-lima pesawat ATM itu, sebelum berangkat meninggalkan majlis itu.

Iringan muzik lagu-lagu patriotik yang dimainkan Pancaragam Pusat ATM oleh anggota daripada TDM, TLDM dan TUDM, sepanjang istiadat itu berlangsung, menyerikan lagi majlis penuh warna-warni itu. - Bernama

0 ulasan:

RENUNGAN

RENUNGAN

Blog Archive

MACAM-MACAM ADA