Panduan Karangan (Penulisan) Bahagian B UPSR
TUJUAN ANDA MENGARANG
1. menguji kefahaman anda mengenai tajuk karangan itu.
2. menguji kebolehan, kemahiran dan keupayaan anda menarik minat pembaca.
3. menguji fikiran, pendapat, dan idea-idea anda.
4. menguji tentang sejauh mana pembacaan anda.
& PANDUAN MENGARANG / MENULIS
Sebelum membuat sesuatu karangan , kita hendaklah memilih dan memahami tajuk atau kehendak soalan karangan itu. Selepas itu kita fikirkanlah pula tentang :
a) Pengenalan
b) Isi-isi dan
c) Penutup
A. PENGENALAN
Setiap karangan mestilah mempunyai pembukaan atau pengenalan. Dalam pengenalan kita hendaklah memperkenalkan sesuatu perkara atau tajuk yang mungkin pembaca tidak tahu atau faham. Kita hendaklah menarik perhatiannya supaya ingin membaca karangan itu. Pengenalan ini dibuat secara ringkas dan am sahaja, memadai tiga atau empat ayat. Pembukaan karangan yang menarik akan meninggalkan kesan yang positif dan mendalam pada pemeriksa. Oleh itu pastikanlah terlebih dahulu pembukaan karangan hendaklah bersih daripada kesalahan tatabahasa atau ejaan.
B. Isi
Isi hendaklah mengikut kehendak tajuk karangan itu. Karangan perlu mempunyai sekurang-kurangnya empat isi. Isi yang lebih tidak mengapa tetapi mungkin menyebabkan kekurangan masa. Isi hendaklah disusun dengan teratur dan berkait di antara satu dengan lain. Isi-isi itu dipecahkan dalam perenggan-perenggan. Isi yang utama didahulukan.Setiap isi perlu dikembangkan/dihuraikan dan ada contoh/bukti. Sebaik-baiknya satu isi, satu perenggan kecuali jika isi pendek-pendek dan berkait rapat. Tiap-tiap perenggan tidak semesti sama panjangnya. Mungkin sesuatu perenggan itu lebih panjang daripada perenggan yang lain. Ini kerana sesuatu isi utama yang ingin ditekankan oleh murid-murid biasanya lebih panjang daripada perenggan yang lain. Jaga isinya supaya tidak terkeluar dari tajuk yang dikehendaki. Elakkan menyertakan isi yang bercanggah dengan tajuk. Isi karangan hendaklah asli tidak ditiru bulat-bulat dari karangan lain. Untuk mendapat isi yang baik dan banyak, kita hendaklah banyak membaca surat khabar, majalah-majalah, makalah-makalah, rencana-rencana, buku-buku cerita, mendengar sesuatu, menyaksikan sendiri dan dari pengalaman sendiri. Jangan campur adukkan isi. Elakkan daripada menulis sesuatu isi dalam perenggan yang sama. Catatkan setiap isi sebelum menulis.
Tip
Antara kaedah mencari isi
Kaedah I ( pertanyaan ) Kaedah II ( peta minda ) Apa ?
Siapa ?
Bila ?
Mengapa ?
Di mana ?
Bagaimana ?
C. Penutup
Kalau pengenalan dapat mempengaruhi atau menarik minat pembaca untuk mengikuti karangan tersebut maka penutupnya juga hendaklah memberi suatu kepuasan kepada pembaca. Penutuplah yang menjadi kesimpulan / rumusan atau akhiran sesuatu karangan. Dalam penutup digambarkan juga pendapat kita dengan ringkas tentang sesuatu perbincangan atau tajuk. Elakkan menamatkan karangan secara mengejut atau tergantung. Oleh itu penutup juga adalah penting dalam tiap-tiap karangan.
& CARA-CARA MENGARANG / STRATEGI MENULIS
1. Sebelum menulis perkara yang dilakukan seperti di bawah :
a. Memilih tajuk atau soalan B
- Baca dan fahami setiap tajuk / soalan yang diberi.
- Fahami bentuk soalan sama ada jenis berformat atau tidak berformat.
- Kamu mesti memilih soalan / tajuk yang benar-benar boleh dikuasai
- Memahami benar-benar kata kunci atau kehendak soalan
( Kehendak soalan biasanya berada di akhir arahan seperti : ………………
Tuliskan laporan mengenai lawatan tersebut. )
Tip
Adalah lebih baik jika adik semua menggariskan perkataan-perkataan yang menjadi kata kunci dalam soalan itu. Ini mengelakkan karangan daripada terpesong atau terkeluar daripada tajuk sebenar.
b. Menyusun rangka karangan
- Pilih mana-mana kaedah yang mudah bagi anda mencari isi
- Senaraikan semua isi penting secara ringkas yang mungkin.
- susun isi mengikut urutan kepentingannya.
- Masukkan huraian serta contoh yang sesuai bagi setiap isi yang akan dihurai.
- Isi penting jangan diulang-ulang
c. Menulis karangan
- Semasa menulis karangan kamu mulakan dengan menulis pendahuluan terlebih dahulu satu perenggan.
- Setiap isi yang dihurai perlu ditulis dalam satu perenggan berserta dengan contohnya.
( Bahagian-bahagian karangan yang ideal )
Perenggan Pendahuluan
Perenggan isi pertama
Perenggan isi kedua
Perenggan isi ketiga
Perenggan isi keempat
Perenggan Penutup
- Tulislah mengikut urutan rangka yang telah dibuat selain menjaga kekemasan tulisan.
d. Menyemak karangan
- Setelah habis menulis karangan kamu perlu menyemak bagi memastikan jika ada tulisan anda yang kurang jelas, kesalahan ejaan, tanda baca, penggunaan imbuhan, struktur ayat yang salah dan aspek tatabahasa yang lain.
- baca berulang kali bagi memastikan ketepatan karangan kamu.
a. Secara umum peruntukan masa untuk sebuah karangan
b. 5 minit mencari isi
c. 20 minit menulis karangan
d. 5 minit menyemak semula karangan
Jumlah = 30 minit
Kamu mesti menepati masa yang ditetapkan.
Adalah diingatkan jangan terlalu leka menjawab satu soalan. Jika masa telah melebihi 30 minit beralih kepada soalan yang berikutnya pula.
Tip
Kamu digalakkan menulis ayat yang pendek , ringkas dan padat berbanding yang panjang. Ini kerana ayat yang panjang biasanya terdedah kepada kesalahan tatabahasa.
Biasakan diri kamu mengolah ayat daripada isi yang telah disenaraikan.
Satu perenggan biasanya mengandungi 3, 4 atau 5 ayat sahaja bagi huraian satu isi.
Tahukah kamu ?
Bagaimana hendak menulis dialog dengan baik ?
Di bawah ini adalah contoh yang baik untuk menulis dialog dalam karangan anda.
Mulakan setiap dialog di baris baru. Ini mengelakkan kekeliruan pemeriksa. Lihat contoh :
Contoh A ( dicadangkan )
"Kamu baru pulang ?"
"Baru sebentar tadi." Jawab saya. "Tentu Kamu tertunggu kepulangan saya."
"Memang saya tertunggu-tunggu," luah Jamal , lembut.
Contoh B ( mengelirukan )
"Kamu baru pulang ?" "Baru sebentar tadi." Jawab saya. "Tentu Kamu tertunggu kepulangan saya." "Memang saya tertunggu-tunggu," luah Jamal , lembut.
& PETUA APABILA MENULIS KARANGAN
• Perlu memahami betul-betul kehendak soalan.
• Catatkan apa sahaja isi-isi yang terlintas di fikiran, kemudian susun mengikut mana yang lebih penting.
• Tuliskan karangan berdasarkan rangka yang kamu sediakan.
• Karangan mestilah mempunyai pendahuluan, isi-isi dan penutup.
• Bagi karangan meminta fakta , sekurang-kurangnya mempunyai empat isi ( seelok-eloknya cari lima isi ) dan setiap perenggan mengandungi satu isi.
• Gunakan ayat yang pendek dan bahasa yang mudah.
0 ulasan:
Post a Comment