UNIVERSITI TERBAIK DI DUNIA
Caltech universiti terbaik dunia
LONDON 6 Okt. - Universiti-universiti di Amerika Syarikat (AS) dan Britain sekali lagi mendominasi ranking universiti-universiti terbaik di dunia dengan kedudukan pertama menampilkan muka baru yang berjaya menyingkirkan Universiti Havard sebagai universiti terbaik dunia pada tahun ini.
Institut Teknologi California (Caltech) menjadi institusi paling terkemuka dalam senarai yang dikeluarkan oleh Times Higher Education (THE) ini buat pertama kalinya dalam tempoh lapan tahun sebagai universiti terbaik dunia pada tahun ini.
Sebanyak 75 universiti AS turut disenarai pada kedudukan 200 institusi pendidikan terbaik di dunia, sekali gus menjadi negara yang mendahului carta itu.
Institusi Britain menduduki tangga kedua selepas 32 universiti negara ini tersenarai pada kedudukan 200 teratas, tetapi cara universiti di negara ini dibiayai menimbulkan kebimbangan berhubung kejayaan berterusan mereka.
Negara Asia turut meningkatkan ranking mereka dengan Universiti Tokyo berada di tangga ke-30 mendahului institusi pendidikan lain dari benua itu.
Caltech dinobatkan sebagai universiti terbaik dunia ekoran kejayaan mereka mengekalkan keputusan memberangsangkan dalam semua kategori dan peningkatan dalam pembiayaan penyelidikan.
Institut Caltech adalah khusus untuk pengajian sains serta kejuruteraan dan kampus utamanya terletak di utara Los Angeles.
Havard yang berusia 365 tahun dan buat pertama kalinya gagal menduduki kedudukan pertama sejak senarai ini dikeluarkan oleh THE berada di tangga kedua bersama Universiti Stanford California.
Kedudukan universiti utama Britain turut berubah dengan Oxford berjaya menduduki tangga keempat menewaskan Cambridge yang berada pada kedudukan keenam.
Pemilihan ini dibuat berdasarkan 13 kategori termasuk bidang penyelidikan, pengajaran, pemindahan pengetahuan dan aktiviti antarabangsa. - AFP
0 ulasan:
Post a Comment