BLOG PUSAT SUMBER SK. PARIT HAJI TAIB ...

IKLAN


Tuesday, August 18, 2015

Jenis-Jenis Ayat

Jenis-jenis ayat. 

https://lh3.ggpht.com/S7XJTEuXA-eKOZFTlH8OSAl4tLVtkZMCw8lBnyspSZtbkq5G0R_-IGDZ3vbthGDul_dB=w300

JENIS-JENIS AYAT

Ayat-ayat dalam bahasa Melayu boleh dibahagikan kepada empat jenis, iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah dan ayat seruan.

Ayat Penyata
1. Ayat penyata ialah ayat yang diucapkan dengan maksud untuk menyatakan atau menerangkan sesuatu hal.
2. Ayat penyata juga dikenali sebagai ayat berita atau ayat keterangan.

3. Ayat contoh:
a) Pelajar-pelajar sedang mengulang kaji pelajaran di perpustakaan.
b) Normah tidak pergi ke sekolah pada hari ini.
c) Dia suka menonton rancangan televisyen.
d) Datuk sedang berehat di ruang tamu.
e) Kami sekeluarga akan melancong ke Taiwan.



Ayat Tanya
1. Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk menanyakan sesuatu hal.
2. Terdapat dua jenis ayat tanya, iaitu ayat tanya tanpa kata tanya dan ayat tanya dengan kata tanya.
3. Tanda soal (?) diletakkan pada akhir ayat dalam tulisan.

(i) Ayat Tanya Tanpa Kata Tanya
1. Ayat tanya tanpa kata tanya ialah ayat yang diucapkan dengan meninggikan nada suara pada akhir ayat penyata.
2. Dalam tulisan, nada tanya ini ditandai dengan tanda soal (?).
3. Ayat contoh:

a) Adik masih belum makan?
b) Pemuda itu malas?
c) Pertandingan bercerita itu diadakan pada minggu hadapan?
d) Erra penyanyi yang popular?
e) Bas itu sudah bertolak?

(ii) Ayat Tanya Dengan Kata Tanya
1. Ayat tanya dengan kata tanya ialah ayat yang menggunakan kata tanya seperti apa, siapa, bila, mana, bagaimana dan sebagainya.

2. Ayat contoh:
a) Barang itu apa?
b) Pemain piano itu siapa?
c) Hari jadi kamu bila?
d) Pejabat pos di mana?
e) Keadaan nenek kamu bagaimana?

3. Dalam bentuk tulisan, ayat-ayat tanya ini perlu menerima partikel "-kah" dan diletakkan di hadapan ayat.
4. Ayat contoh:
a) Apakah barang itu?
b) Siapakah pemain piano itu?
c) Bilakah hari jadi kamu?
d) Di manakah pejabat pos?
e) Bagaimanakah keadaan nenek kamu?

Ayat Perintah
1. Ayat perintah ialah ayat yang digunakan untuk menimbulkan sesuatu tindakan.
2. Ayat perintah terdiri daripada empat jenis, iaitu:

a) Ayat suruhan
b) Ayat larangan
c) Ayat silaan
d) Ayat permintaan

Panduan Umum Penggunaan Jenis-jenis Ayat Perintah
Ayat Perintah
Penggunaan Ayat Contoh
Ayat Suruhan Memberi arahan atau memerintah seseorang membuat sesuatu.
1. Minumlah teh ini dahulu.
2. siapkan kerja sekolah ini.
3. Fikirkanlah sebelum bertindak.

Ayat Larangan
Melarang seseorang daripada melakukan sesuatu.
Menggunakan kata larangan seperti jangan, usah atau tak usah.
1. Jangan petik bunga itu.
2. Usah bermain di tepi jalan.
3. Tak usah kau campur tangan dalam hal saya.

Ayat Silaan
Menjemput atau mempersilakan seseorang
Menggunakan kata silaan seperti sila atau jemput.
1. Sila beratur sebelum masuk ke dalam kelas.
2. Silalah pakai topi keledar.
3. Jemput makan bersama-sama.
4. Jemputlah datang ke rumah saya.

Ayat Permintaan
Memohon permintaan dan pertolongan.
Menggunakan kata permintaan seperti minta atau tolong.
1. Minta tuan-tuan dan puan-puan mengambil tempat duduk masing-masing.
2. Minta anda semua bersabar.
3. Tolong ambilkan saya secawan air.
4. Tolong uruskan perkara ini dengan segara.

Ayat Seruan
1. Ayat seruan ialah ayat yang digunakan untuk melahirkan perasaan seperti takut, marah, gembira, sakit, benci dan sebagainya.
2. Tanda seru (!) biasanya diletakkan pada akhir ayat seruan.
3. Ayat seruan didahului oleh kata seru seperti amboi, wah, eh, oh, aduh, cis dan sebagainya.
4. Ayat contoh:
a) Amboi, cantiknya gadis itu!
b) Wah, mahalnya baju ini!
c) Oh, aku lupa bawa wang hari ini!
d) Cis, berani kamu pukul saya!
e) Syabas, kamu telah menang!

SUSUNAN AYAT
1. Terdapat dua bentuk susunan ayat dalam bahasa Melayu, iaitu susunan biasa dan susunan songsang.
2. Dalam susunan biasa, subjek terletak di hadapan ayat manakala predikat pula terletak di belakang ayat.
3. Ayat songsang ialah ayat yang predikatnya di hadapan dan subjeknya di belakang.

Ayat Biasa = Subjek + Predikat
Ayat Songsang = Predikat + Subjek
Ayat contoh:
1. Encik Ahmad seorang doktor.(Ayat Biasa)
    Seorang doktor Encik Ahmad. (Ayat Songsang)

0 ulasan:

RENUNGAN

RENUNGAN

Blog Archive

MACAM-MACAM ADA