BLOG PUSAT SUMBER SK. PARIT HAJI TAIB ...

IKLAN


Saturday, November 21, 2009

3 KISAH UPSR

'Permata hati' Baharudin


JOHOR BAHRU 20 Nov. - Gayanya mengalahkan seorang selebriti kerana ke mana sahaja Baharudin Abd. Wahid, 56, pergi pasti ada yang ingin bersalaman dengannya.

Meskipun sibuk dengan tugasan hakiki, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram itu tidak pernah menghampakan permintaan anak muridnya yang pelbagai kaum itu untuk bersalaman dengannya.



Baharudin berkata, budaya bersalaman dengan guru mula dipraktikkan di sekolah berkenaan menerusi program Salam Sayang sejak 2006, ketika dia mula bertugas di sekolah tersebut.

''Kalau murid disogok dengan ilmu tanpa menitik beratkan soal modal insan tidak guna juga. Biar kedua-duanya berjalan serentak," katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui pada majlis Permata Gemilang meraikan kejayaan murid dalam Ujian Pencapaian sekolah rendah (UPSR) yang diumumkan semalam.

Beliau yang lebih 32 tahun berkecimpung dalam bidang pendidikan turut menerapkan program Bijak Sifir, Penulisan Bijak, Satu Hari Satu Karangan dan Perbendaharaan Bergerak demi kejayaan murid-murid sekolah berkenaan.

Katanya, untuk Bijak Sifir, setiap murid dari tahun satu hingga enam harus menghafal sifir dalam bahasa Inggeris dan membacanya di hadapan 33 orang guru.

''Setiap murid ada kad sifir sendiri untuk ditandatangani oleh guru yang dipertanggungjawabkan.

''Murid boleh hafal dan baca di hadapan guru pada bila-bila masa sebelum guru berkenaan menurunkan tandatangan," katanya.

Menurut Baharudin, kesan daripada program tersebut kebanyakan murid lancar sifir kerana masing-masing berlumba untuk memenuhi kad sifir berkenaan.

Untuk program Perbendaharaan Bergerak pula katanya, setiap murid diberi satu perbendaharaan dalam bahasa Inggeris untuk diterjemahkan ke bahasa Melayu.

''Murid tahun satu hingga tiga perlu cari lima perbendaharaan setiap hari dan 10 perbendaharaan sehari untuk murid tahun empat hingga enam.

''Setiap murid kemudiannya bertukar-tukar perbendaharaan dengan rakan-rakan bagi menambahkan bilangan perbendaharaan kata masing-masing," jelasnya.

Beliau berkata, hasil daripada penerapan program berkenaan dan dedikasi para guru, keputusan peperiksaan UPSR tahun ini meningkat lima peratus.

Pada tahun ini seramai 220 murid menduduki UPSR dengan 25 orang memperoleh 5A dan 14 murid mendapat 4A 1B.

Beliau yang sentiasa mengingatkan guru agar mengajar murid ibarat ibu bapa mendidik anak itu sanggup mengeluarkan wang saku sendiri bagi memastikan 'permata hatinya' bersemangat belajar.

''Budak-budak ini perlu motivasi. Kalau kita hargai usaha atau kejayaan mereka, pasti masing-masing bersemangat untuk membuat lebih baik," katanya.

Justeru, walaupun sudah penghujung sesi persekolahan, kehadiran murid-murid di sekolah berkenaan sentiasa penuh kerana masing-masing bersemangat untuk belajar mata pelajaran baru.

Katanya, tiga minggu sebelum cuti sekolah, murid-murid akan diajar dengan mata pelajaran tahun akan datang.



Siti Amynur terima keputusan UPSR depan jenazah ibu



SEREMBAN 20 Nov. - Tidak seperti murid Tahun Enam lain yang kegirangan ketika menerima keputusan cemerlang 5A Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Siti Amynur Ain Putri Rosdy kesedihan menerima keputusan itu di hadapan jenazah ibunya.

Apabila keputusan UPSR diumumkan di pejabat Sekolah Kebangsaan Taman Dusun Nyior semalam, Siti Amynur Ain Putri berada di surau rumah rakyat Taman Dusun Nyior untuk membantu kaum keluarga lain menguruskan jenazah ibunya, Rusmah Abdullah, 47, yang meninggal dunia akibat tekanan darah rendah pada tengah malam Rabu selepas terlantar di wad hospital selama dua minggu.

Berderai air mata Siti Amynur Ain Putri dan kaum keluarga yang lain apabila guru besar sekolah itu, Noreha Adam menyampaikan keputusan ke tangan pelajar itu sendiri di hadapan tubuh kaku ibunya beberapa minit sebelum solat jenazah dimulakan pada pukul 11.30 pagi semalam.

"Saya sedih sangat, ibu tidak dapat melihat keputusan ini. Ibu selalu berpesan semasa hidup bahawa saya ini harapan dia, ayah pula sudah meninggal dunia empat tahun lalu," kata Siti Amynur Ain Putri dengan linangan air mata kepada Bernama.

Pelajar itu kini yatim piatu bersama abangnya yang berusia 14 tahun.

Selepas ayahnya meninggal dunia akibat sakit tibi, ibu Siti Amynur Ain Putri bekerja sebagai tukang cuci di sebuah hotel bajet rendah di Seremban dengan pendapatan RM500 sebulan.

Pada April lepas, ibunya terpaksa berhenti kerja apabila pelajar itu patah kaki dalam kemalangan. Ekoran itu, keluarganya terpaksa hidup dengan bantuan kewangan kerajaan RM400 sebulan.

Setiap hari sejak berhenti kerja, ibunya akan berjalan kaki sejauh satu kilometer untuk menghantar nasi bungkus kepada Siti Amynur Ain Putri kerana pelajar itu tidak balik ke rumah untuk menunggu kelas bimbingan UPSR.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Dusun Nyior, yang terkejut ketika dimaklumkan ibu Siti Amynur Ain Putri meninggal dunia, berkata: "Siti merupakan ketua murid di sekolah kami. Kami tahu dia akan mendapat keputusan cemerlang.

Pagi-pagi saya sudah ke Pejabat Pelajaran Daerah untuk mengambil keputusan (UPSR) seawal mungkin.

"Saya nekad untuk sampaikan sendiri keputusan ke tangan Siti sebelum jenazah ibunya di kebumikan di tanah perkuburan Makam Tuan Haji Said," katanya.

Beliau dengan ditemani seorang guru hampir sahaja terlewat dan Noreha tidak putus-putus berdoa supaya Siti Amynur Ain Putri menerima berita baik di sebalik ujian berat yang menimpa pelajar itu.

Ketika menyampaikan keputusan itu ke tangan murid Tahun 6 itu, Noreha berkata, suasana sangat hiba dan puluhan orang termasuk ahli surau terdiam tetapi beliau mengumpul semangat untuk memberitahu kepada murid itu: "Ibu tentu tahu Siti mendapat keputusan cemerlang". Noreha yang berpengalaman dalam bidang perguruan selama 24 tahun, kini berusaha membantu Siti Amynur Ain Putri mendapat tempat di sekolah berasrama penuh.

"Siti ini tabah orangnya, kami tidak tahu pun ibunya dimasukkan ke wad selama dua minggu sebelum meninggal dunia. Semasa Siti patah kaki pada April lepas, dia mendapat cuti sakit selama dua bulan tetapi masuk bulan kedua, dia berazam untuk datang ke sekolah," katanya. - BERNAMA.



Keputusan UPSR 4 sekolah Sabah disemak semula, umum Isnin


KUALA LUMPUR: Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di empat buah sekolah di Sabah ditahan kerana disemak semula dan hanya akan diumumkan Isnin ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata kementerian terpaksa menahan keputusan itu bagi membolehkan Lembaga Peperiksaan menilai semula jawapan pelajar kerana timbul unsur keraguan.

"Ia membabitkan tiga sekolah di Tawau dan satu di Keningau membabitkan mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Matematik.


"Disebabkan adanya ketidakpastian dan keraguan terhadap jawapan bagi tiga mata pelajaran itu, kementerian menahan keputusan UPSR bagi membolehkan jawapan itu dinilai semula.

"Penilaian telah siap dan pelajar-pelajar boleh mendapatkan keputusan masing-masing Isnin ini," katanya di sini, hari ini.

Keputusan UPSR seluruh negara diumumkan pada Khamis lalu.

Ditanya adakah penahanan keputusan itu disebabkan kebocoran kertas soalan, Alimuddin berkata: "Perkara itu tidak berlaku."

"Kes seumpama itu pernah berlaku sebelum ini. Tahun lalu pun ada. Tidak ada kebocoran kertas soalan. Apa yang berlaku ialah Lembaga Peperiksaan mendapati ada keraguan terhadap jawapan dan mereka menangguhkan keputusan untuk dikaji semula," katanya.

Beliau tidak memberi nama sekolah terbabit.

Mengenai kesan penahanan keputusan itu terhadap pelajar dan kebimbangan ibu bapa mengenai kemasukan anak-anak mereka ke sekolah berasrama penuh, Alimuddin berkata perkara itu tidak perlu dirisaukan kerana urusan kemasukan ke asrama penuh dikendalikan oleh Kementerian Pelajaran.

Beliau berkata kementerian mempunyai senarai nama pelajar yang layak dan keputusan siapa yang terpilih juga ditentukan pihaknya.

"Sebenarnya masalah ini tidak timbul. Urusan kemasukan ke sekolah berasrama penuh dikendalikan oleh kementerian. Penahanan keputusan itu tidak mengganggu peluang mereka kerana kementerian mempunyai senarai nama mereka yang layak. Jadi ibu bapa tidak perlu risau mengenainya," katanya.

Pencapaian keseluruhan calon-calon tahun ini mengalami peningkatan berbanding tahun lepas dengan pencapaian keseluruhan Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun ini telah meningkat sebanyak satu peratus berbanding 2008. - Bernama


0 ulasan:

RENUNGAN

RENUNGAN

Blog Archive

MACAM-MACAM ADA