KHATAN...sudah ke belum ?
Khatan bermakna memotong lebihan kulit di bahagian alat sulit samaada bagi wanita (kelentit) mahupun lelaki (kulup). Khatan atau "bersunat" merupakan salah satu cara membersihkan alat sulit kerana zakar dan faraj merupakan tempat dimana pembiakan kuman-kuman yang boleh memudaratkan. Menurut Imam Shafie, Imam Malik dan al-Auzai serta lain-lain berkhatan atau bersunat ini merupakan wajib bagi seseorang yang bergelar Muslim. Kebanyakan ulama berpendapat bahawa khatan wajib dilakukan ketika si anak hampir cukup umur atau akil baligh.
Mengkhatan anak lelaki adalah wajib manakala mengkhatankan anak gadis adalah terpuji dan bukannya wajib.
Sejarah
Rekod terawal mengenai berkhatan terdapat dalam batu bersurat Mesir Purba dari Saqqara (c 2200 S.M (BC).
Dikatakan Nabi Ibrahim a.s dikhatan ketika berusia 80 tahun dan mengkhatan putera-putera beliau, Nabi Ismail dan Nabi ishak pada usia masing-masing 13 dan 8 tahun. Perbuatan ini kemudian berlarutan sehingga ke nabi seterusnya termasuk Nabi Isa a.s. Untuk kes Nabi Muhammad s.a.w. ada mengatakan baginda dilahirkan sudah berkhatan. Ada juga menyatakan bahawa baginda dikhatankan oleh Malaikat Jibrail atau datuk beliau, Abdul Mutalib.
Di Malaysia, kebanyakan ibu bapa dan penjaga memilih hari cuti penggal, iaitu sekitar pertengahan tahun mahupun hujung tahun untuk mengkhatankan anak-anak mereka. Kanak-kanak ini kebiasaannya dikhatankan ketika berusia dalam lingkungan 10-12 tahun.
Khatan di kalangan masyarakat Arab berbeza dengan masyarakat di Malaysia. Hal ini kerana kebanyakan masyarakat Arab memilih untuk mengkhatankan anak mereka ketika baru lahir atau pada peringkat 7 tahun.
Hadis
Fitrah itu lima:
1. khatan;
2. memotong bulu kemaluan;
3. menggunting misai;
4. memotong kuku; dan
5. mencabut bulu ketiak. (Bukhari-Muslim)
"Bersihkanlah dirimu dari rambut kufur dan berkhatanlah." (Ahmad dan Abu Daud)
HIKMAH
1. asas kebersihan dalam Islam
2. untuk perbezaan agama ( namun pada hari ini, khatan juga dilakukan oleh bukan Muslim )
3. mencantikkan bentuk kemaluan
4. memelihara tenaga batin
5. sunah Nabi Ibrahim a.s dan Rasulullah
6. mengelakkan zakar terkurung di dalam kulup ketika sedang ereksi atau menegang
7. menghindarkan dari penyakit
8. mengurangkan keinginan onani ketika anak-anak baru baligh
Berkhatan juga dikatakan dapat menghindarkan diri dari terkena sebarang penyakit berbahaya seperti HIV. Hasil kajian pengkaji Eropah dan Afrika di empat buah bandar Afrika mendapati berkhatan menghindarkan tiga kali ganda dari dijangkiti HIV/AIDS. Circumcision 'reduces HIV risk'
PENDAPAT PAKAR
Di antara kumpulan yang banyak mengeluarkan kenyataan menentang khatan pada hari ini ialah kumpulan NOCIRC (National Organization of Circumcision Information Resource Centers), NOHARMM (National Organization to Halt the Abuse and Routine Mutilation of Males), NORM (National Organization of Restoring Males), RECAP (Re-cover A Penis) dan BUFF (Brothers United for Future Foreskins).
Ramai pakar kanak-kanak menyokong dan memandang baik amalan khatan di kalangan kanak-kanak lelaki, di antaranya Dr. Edgar J. Schoen. Beliau pernah dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Berhubung Khatan di Amerika (Task Force on Circumcision of the American Academy of Paediatrics) pada tahun 1993 dan sekarang merupakan seorang profesor Perubatan Kanak-Kanak di Universiti California di San Francisco. Beliau juga pernah menjadi Ketua Bahagian Perubatan Kanak-Kanak di Kaiser Permanente, Oakland selama 24 tahun. WebMD Medical News bertarikh 6 Mac 2000 melaporkan tentang satu kajian yang telah beliau lakukan bersama-sama dengan rakan-rakannya dan mereka mendapati dari "89 kes barah zakar, 87 daripadanya adalah dari kalangan lelaki yang tidak berkhatan". Justeru, mereka merumuskan, khatan mencegah lelaki dari menghidap barah zakar dan penemuan ini telah dimuatkan di dalam majalah Pediatrics. (Neil Osterweil, Experts Disagree on Whether Procedure Should Be Routine, WebMD Medical News, Lycos Health, March 6 2000)
Dalam satu keputusan dari kajian yang dilakukan di Afrika Selatan membuktikan berkhatan mengurangkan kadar jangkitan HIV di kalangan lelaki hektroseksual sebanyak 60%. Kajian itu yang dilapurkan dalam Public Library of Science Medicine, mendapati hasil tersebut dalam kajian yang membabitkan 3,280 pemuda. [1]
Di samping itu, terdapat banyak kajian yang telah dilakukan yang menunjukkan khatan mencegah dari pelbagai jenis penyakit.
Risiko seseorang wanita menghidap barah pangkal rahim (cervix) adalah tinggi jika pasangannya tidak berkhatan. Satu kajian yang dilakukan di Lembah Kashmir pada tahun 1993 menunjukkan, amalan berkhatan di tempat ini menyebabkan peratus barah pangkal rahim menjadi rendah jika dibandingkan dengan kawasan-kawasan lain di India. Mengikut Dr. Edgar J. Shoen, seorang pakar kanak-kanak yang terkenal, luka yang sering berlaku di kulup ketika melakukan persetubuhan memudahkan seseorang lelaki yang tidak berkhatan dijangkiti kuman penyakit jangkitan seksual, terutamanya siplis, kankroid dan herpes genitalis. (Dr. Edgar J. Shoen, Circumcision A Lifetime of Medical Benefits, Medicirc, 2000)
Dr. Gerald Weiss, seorang pakar bedah, menegaskan tanpa khatan, bahagian di bawah kulit yang menutupi kepala zakar akan menjadi tempat takungan pelbagai jenis kuman dan ini meningkatkan risiko mendapat limbah kumbahan jangkitan. Kadangkala keadaan ini akan mengeluarkan bau busuk yang tidak menyenangkan. Pada tahun 1982 dilaporkan, 95% kes radang saluran kencing yang menjangkiti bayi berumur 5 hari 8 bulan berlaku ke atas mereka yang tidak berkhatan. Penyakit ini boleh menyebabkan demam, sakit ketika kencing serta muntah dan di antara komplikasi yang boleh menimpa ialah kerosakan buah pinggang. Kajian Dr. Tom Wiswell dari Amerika mengukuhkan lagi penemuan ini. Kesan yang sama juga boleh berlaku ke atas lelaki dewasa yang tidak berkhatan dan penemuan ini telah dilaporkan di dalam Journal of American Medical Association (JAMA) pada tahun 1992.
Khatan wanita telah menjadi satu isu antarabangsa yang hangat diperdebatkan pada hari ini. Ramai dari kalangan di Barat yang menentangnya dan menganggapnya sebagai pencacatan anggota kelamin selepas berlaku beberapa peristiwa kematian dan kecederaan ke atas kanak-kanak perempuan yang dikhatan. Walau bagaimanapun, sebelum ini, terdapat ramai tokoh-tokoh perubatan di Amerika yang menyokong amalan khatan wanita, sebagai contoh, Dr. W.G. Rathmann (M.D.) dari Hospital Centinella di Inglewood, California. Beliau pernah menulis tentang kebaikan khatan wanita pada tahun 1959 dan tulisan beliau telah dimuatkan di dalam majalah GP, terbitan September, 1959.(W.G. Rathmann, M.D., Female Circumcision: Indications and a New Technique, GP, vol. XX, no. 3, pp 115-120, September, 1959)
Ulama Islam berbeza pendapat berhubung dengan amalan ini, ada yang menggalakkannya dan ada yang menentangnya. Yang paling ketara ialah, nas berhubung dengannya adalah tidak sahih, justeru, ia bukanlah satu amalan yang penting. Perkara yang lebih penting dan perlu diutamakan ialah penjagaan hak-hak wanita, pendidikan dan pemeliharaan kehormatan mereka. Alhamdulillah, penegasan seperti ini telah disebutkan oleh Dr. Yusuf Qardawi di dalam Fatwa-Fatwa Mutakhirnya. (Dr. Yusuf Qardawi, Fatwa-Fatwa Mutakhir, Yayasan al-Hamidy, 1996, hal. 554-555)
Dr. Yusuf Qardawi dalam Fatwa-Fatwa Mutakhir juga berpendapat, semuanya bergantung kepada ibu bapa kepada kanak-kanak itu. Jika mereka hendak mengkhatankan anak mereka, ia diharuskan, dan sebaliknya jika mereka enggan melakukannya, ia tidaklah menjadi suatu kesalahan. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang cenderung untuk mengkhatan anak-anak perempuan mereka, beliau menasihatkan agar dikhatankan sedikit sahaja daripada kulit, berdasarkan sebuah hadis Nabi s.a.w.:
"Potonglah sedikit sahaja dan jangan sampai ke akarnya kerana ia mengelokkan wajah dan menyenangkan hati suami." (Hadis Daif)
Dengan itu pendekatan terbaik bagi menangani masalah kemudaratan ke atas wanita atau dilakukan oleh mereka yang tidak berkuasa, perkhidmatan perubatan perlu dipertingkatkan agar mereka yang berkhatan boleh mendapatkan perkhidmatan perubatan terbaik.
NEGARA KHATAN
Negara-negara berikut mempunyai lelaki yang ramai melakukan khatan ke atas kulup mereka.
Afghanistan, Albania, Algeria, Amerika Syarikat, Azerbaijan, Bahrain, Bangladesh, Benin, Bosnia, Brunei,Cameroon, Chad, Comoros, Djibouti, Mesir, Eritrea, Ethiopia, Gabon, Gambia, Ghana, Guinea, Indonesia, Iran, Iraq, Israel, Kazakhstan, Kenya, Kuwait, Lubnan, Libya, Madagascar, Malaysia, Maldives, Mali, Mauritania, Maghribi, Niger, Nigeria, Oman, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Sierra Leone, Somalia, "Somaliland", Sudan, Syria, Tajikistan, Tunisia, Turki, Turkmenistan, UAE, Uzbekistan, Yaman.
0 ulasan:
Post a Comment