SAINS MATEMATIK DALAM BAHASA MELAYU
PUTRAJAYA: Kabinet hari ini meluluskan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah kebangsaan dan menengah dilaksanakan dalam Bahasa Melayu berkuatkuasa pada 2012.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pelaksanaannya bermula berperingkat mulai 2012 bagi Tahun Satu dan Tahun Empat, Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat.
Beliau berkata, bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil, pengajaran dan pembelajaran dua subjek itu akan dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.
Serentak itu, katanya, kerajaan memutuskan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan perlu dimantapkan lagi.
“Pelaksanaan keputusan Kabinet bagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik ini akan berkuatkuasa pada 2012.
“Ia bermula secara berperingkat dan perubahan ini tidak membabitkan tingkatan enam dan matrikulasi,” katanya pada sidang media khas bagi mengumumkan keputusan Kabinet itu di sini.
Bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), Muhyiddin berkata, pengajaran dan peperiksaan kedua-dua mata pelajaran terbabit akan dilaksanakan dalam dwi bahasa sehingga kumpulan terakhir PPSMI tamat pada 2014.
Beliau berkata, kerajaan mengambil keputusan itu selepas meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan berhubung PPSMI, sama ada yang dilaksanakan Kementerian Pelajaran atau badan bebas sejak dasar terbabit mula diperkenalkan pada 2003.
Katanya, hasil kajian itu menunjukkan dasar itu tidak pernah dilaksanakan seperti yang dihasratkan.
“Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM, di mana guru mengajar pelajaran Sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu,” katanya.
Sejarah perlaksanaan PPSMI
PPSMI telah termaktub sebagai keputusan dasar kerajaan Malaysia hasil daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 19 Julai 2002 di bawah pentadbiran Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr Mahathir bin Mohamad. Mengikut Kementerian Pelajaran Malaysia, ia dilaksanakan secara berperingkat, bermula pada sesi persekolahan tahun 2003 dengan perintisnya ialah semua murid Tahun 1 untuk peringkat Sekolah Rendah dan Tingkatan 1 serta Tingkatan 6 Rendah untuk peringkat Sekolah Menengah. Pelaksanaan penuh PPSMI ialah pada tahun 2007 untuk peringkat Sekolah Menengah sementara peringkat Sekolah Rendah ialah pada tahun 2008.
Objektif
Menurut penerangan mengenai dasar PPSMI di laman web Kementerian Pelajaran Malaysia[3]:
Rasional kepada peralihan bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris adalah atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju dan persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing dalam era globalisasi.
Umum mengetahui bahawa sains dan matematik adalah bidang yang menjadi asas dan berperanan penting dalam kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Pelbagai inovasi dan penemuan baru dalam bidang ini berlaku dengan pantas dan capaian maklumat mengenai perkembangan dalam bidang ini banyak terdapat dalam bahasa Inggeris.
Selain itu, bahasa Inggeris adalah bahasa hubungan antarabangsa dan penguasaan dalam bahasa ini memudahkan perolehan ilmu dalam bidang ini.
Ketika mencadangkan dasar ini, Tun Dr Mahathir berpendapat bahawa Malaysia makin ketinggalan dalam arus globalisasi, dan diharapkan dasar ini memberi kelebihan kompetitif kepada negara, mencontohi kejayaan Singapura dan India yang semakin melangkah ke depan kerana kebiasaan dengan bahasa Inggeris.
Pelaksanaan
PPSMI dilaksanakan kepada masukan pelajar Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada tahun persekolahan 2003; pelajar-pelajar lain pula tidak terlibat, sebaliknya meneruskan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa perantara lama. Bahan-bahan pembelajaran PPSMI berbentuk pakej yang terdiri daripada komponen-komponen berikut:
* Buku Teks (Textbook): Buku Teks disediakan untuk murid sebagai sumber asas mendapatkan pengetahuan tentang konsep dan kemahiran dalam pembelajaran sains dan matematik.
* Buku Latihan dan Aktiviti (Activity Book): Buku Latihan dan Aktiviti (BLA) disediakan untuk murid bagi mengukuhkan kefahaman konsep dan penguasaan kemahiran sains dan matematik yang telah dipelajari daripada buku teks. BLA membekalkan soalan latihan dan aktiviti yang dapat dilaksanakan oleh murid. BLA adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik Tahap Satu sahaja.
* Buku Panduan Guru (Teacher's Guide): Buku Panduan Guru disediakan untuk guru sebagai sumber rujukan dan panduan supaya memudahkan guru merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara berkesan. Buku panduan ini juga membantu guru mengemaskini dan meningkatkan pengetahuan sains dan matematik serta merangsang kreativiti guru dalam P&P. Buku Panduan Guru adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik untuk Tahap Dua serta Pakej Buku Teks Matematik Tahun Satu.
* MyCD (Pupil's CD-ROM): MyCD ialah CD-ROM untuk murid yang bertujuan mengukuhkan kefahaman murid berkaitan konsep sains dan matematik yang telah mereka pelajari melalui persembahan multimedia. Kandungan MyCD adalah Latihan dan Aktiviti secara interaktif, permainan, simulasi dan e-ujian.
* CD-ROM Guru (Teacher's CD-ROM): CD-ROM Guru bertujuan membantu guru dalam merancang dan melaksanakan P&P sains dan matematik. Antara kandungan di dalam CD-ROM Guru ialah strategi P&P, bank soalan, aktiviti tambahan dan senarai URL yang relevan dengan pendidikan sains dan matematik. CD-ROM Guru adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik untuk Tahap Satu sahaja.
* Buku Amali Sains (Science Practical Book): Buku Amali Sains diterbitkan untuk memastikan mata pelajaran Sains diajar secara amali dan bukan hanya secara teori. Selain itu, daya pemikiran dan kreativiti murid dapat dikembangkan melalui amali serta menimbulkan minat murid terhadap Sains. Buku Amali Sains adalah komponen Pakej Buku Teks Sains untuk Tahap Dua sahaja.
* Buku Glosari: Buku Glosari Sains dan Matematik adalah bahan rujukan guru dan murid untuk mengenal sesuatu istilah melalui definisi dan penggunaan istilah tersebut dengan lebih tepat.
Bagi perlaksanaan pada sekolah-sekolah jenis kebangsaan (Cina) setelah bantahan dibuat oleh Dong Jiao Zong satu kompromi oleh Majlis Tertinggi Barisan Nasional, satu formula “2-4-3” telah dilaksanakan mulai tahun 2003 untuk Tahap I dengan menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Cina secara serentak dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik, manakala bagi Tahap II, formula “6-2-3-2” telah dilaksanakan mulai tahun 2006 untuk tujuan tersebut.
Hasil dan reaksi
Sejak pelaksanaannya lagi, PPSMI banyak menghadapi pembidasan dan tentangan berkenaan idea dan pelaksanaannya dari pelbagai pihak termasuk ahli politik, akademik, ibu bapa dan pelajar sendiri. Antara isu-isu yang diketengahkan pihak-pihak tersebut termasuklah kesukaran murid-murid mengikuti pelajaran dan guru-guru menyesuaikan diri kepada perubahan bahasa perantara, serta kesannya terhadap penguasaan bahasa ibunda murid-murid, terutama di peringkat sekolah rendah.
Kanak-kanak lebih cepat belajar dalam bahasa ibunda, oleh itu kanak-kanak yang bahasa ibundanya bukan bahasa Inggeris (luar bandar) akan ketinggalan berbanding kanak-kanak yang bahasa ibundanya merupakan bahasa Inggeris. Sekiranya perkara ini berlaku pada peringkat memahami konsep, ini memberi kesan kepada kanak-kanak tersebut, tidak dapat mengikuti peringkat pembelajaran seterusnya dengan baik, menjadikan mereka sentiasa keciciran berbanding rakan-rakan berbahasa Inggeris mereka. [6]
Sokongan terhadap perlaksanaannya juga bergantung kepada bahasa ibunda/harian yang digunakan. Dengan itu pembaca akhbar Inggeris yang cenderung menggunakan bahasa Inggeris dalam pertuturan harian menyokong perlaksanaannya, sementara pembaca akhbar berbahasa Melayu yang bahasa ibunda bahasa Melayu cenderung membantah perlaksanaannya.
0 ulasan:
Post a Comment